
Hubungan Indonesia dan Singapura menghangat. Dua negara jiran yang saling memerlukan itu berdepan beberapa isu sensitif, daripada jerebu rentas sempadan, bekalan gas asli dan eksport tenaga boleh baharu, hinggalah persaingan infrastruktur digital serta laluan penerbangan jemaah umrah.
Perkembangan itu bukan sekadar perselisihan dua negara jiran. Kedudukan geografi, hubungan perdagangan dan kepentingan keselamatan serantau meletakkan Kuala Lumpur dalam kedudukan yang menerima tempias setiap kali Jakarta dan Singapura melalui fasa tegang.
Justeru, Malaysia perlu bijak mengimbangi kepentingan kedua-dua pihak. Persoalannya bukan bagaimana mengelakkan diri daripada terhimpit, tetapi sejauh mana negara ini mampu memanfaatkan kedudukannya sebagai rakan strategik dan penghubung dalam ASEAN.
Isu paling ketara ialah jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Sumatera serta Kalimantan. Asap bukan sahaja menjejaskan kesihatan rakyat Indonesia, malah mencemari udara Singapura dan Malaysia, sekali gus menjejaskan kehidupan harian, pelancongan dan kegiatan ekonomi.
Singapura mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat yang disyaki ada kaitan dengan kebakaran tersebut. Jakarta pula menegaskan tindakan penguatkuasaan mesti menghormati kedaulatan undang-undang Indonesia.
Pertemuan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, dengan rakan sejawatnya, Arrmanatha Nasir, di Jakarta pada 27 Oktober lalu menghasilkan persetujuan menubuhkan pasukan petugas bersama bagi menyiasat syarikat yang dikait dengan kebakaran.
Ini perkembangan penting. Penyelesaian isu itu tidak boleh bergantung kepada teguran diplomatik semata-mata. Perkongsian maklumat, siasatan korporat dan pengesanan aliran kewangan rentas sempadan perlu menjadi sebahagian usaha membanteras pembakaran hutan.
Belum reda isu jerebu, Indonesia mengumumkan pengurangan eksport gas asli melalui saluran paip ke Singapura sebanyak 31 BBTUD, kira-kira lapan peratus jumlah bekalan yang dinyatakan.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia, menjelaskan langkah itu bagi mengutamakan keperluan domestik, khususnya sektor elektrik dan industri. Jakarta menegaskan pengurangan tersebut masih dalam had minimum kontrak yang dipersetujui.
Namun, dalam diplomasi antarabangsa, masa pelaksanaan keputusan sering mencetuskan tafsiran berbeza. Singapura yang bergantung kepada gas asli bagi menjana sebahagian besar bekalan elektriknya tentu memandang serius perkembangan tersebut.
Lebih menarik, pada 2 November lalu, Bahlil turut memberi amaran Indonesia tidak akan mengeksport elektrik kepada Singapura jika harga yang ditawarkan tidak memenuhi kepentingan negara itu. Kenyataan tersebut memberi dimensi baharu kepada rancangan perdagangan elektrik rendah karbon sehingga 3.4GW menjelang 2035.
Pertikaian turut merebak ke ruang digital apabila muncul sindiran mengenai kebergantungan trafik internet Indonesia kepada pusat data Singapura. Jakarta mengingatkan kabel dasar laut yang menghubungkan Singapura dengan dunia melalui perairan Indonesia.
Semua ini memperlihat realiti baharu: persaingan negara moden bukan lagi terbatas kepada sempadan fizikal, tetapi turut melibatkan tenaga, data dan infrastruktur strategik.
Satu lagi perkembangan menarik ialah gesaan Timbalan Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Dahnil Anzar Simanjuntak, supaya jemaah umrah republik itu mengutamakan penerbangan terus ke Arab Saudi berbanding transit di Malaysia dan Singapura.
Alasannya termasuk keselamatan penerbangan dan usaha memperkukuh syarikat penerbangan nasional Indonesia. Langkah itu turut memperlihat bagaimana persaingan ekonomi boleh melibatkan pergerakan manusia dan industri perkhidmatan.
Bagi Malaysia, perubahan laluan tersebut ada kesan terhadap sektor penerbangan dan pelancongan. Selangor juga ada kepentingan tersendiri melalui KLIA di Sepang dan Pelabuhan Klang, dua pintu penting yang menyokong perdagangan, logistik serta pergerakan antarabangsa.
Sebarang perubahan aliran perdagangan, penerbangan dan pelaburan antara Indonesia dengan Singapura berupaya memberi kesan kepada industri pengangkutan, perkhidmatan dan rantaian bekalan di Selangor.
Malaysia juga berkongsi sempadan darat dan maritim dengan Indonesia serta ada hubungan ekonomi rapat dengan Singapura. Kedua-dua negara penting kepada kestabilan Selat Melaka dan Selat Singapura, laluan utama perdagangan antarabangsa.
Justeru, Kuala Lumpur tidak wajar bersikap pasif. Malaysia perlu menjadi penghubung diplomatik yang rasional, tanpa memihak dalam pertikaian, tetapi tegas mempertahan kepentingan ekonomi dan keselamatan negara.
Hubungan panas dingin Jakarta-Singapura membawa pengajaran penting. Nasionalisme dan kedaulatan negara memang perlu dipertahan, tetapi tidak boleh mengatasi kepentingan bersama.
Singapura memerlukan kestabilan Indonesia sebagai jiran dan rakan ekonomi, manakala Indonesia memerlukan pelaburan, teknologi serta jaringan perdagangan Singapura. Kedua-duanya ada kepentingan untuk memastikan hubungan tidak terjerumus ke dalam konflik terbuka.
Bagi Malaysia, kedudukan di tengah-tengah dua jiran strategik itu menuntut dasar luar yang cerdik dan berprinsip. ASEAN perlu bergerak melampaui kenyataan bersama dengan memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian dan kerjasama praktikal.
Akhirnya, apabila asap jerebu reda, pertikaian tenaga selesai dan sindiran politik dilupakan, ketiga-tiga negara tetap berkongsi ruang geografi dan kepentingan ekonomi yang sama.
Malaysia tidak harus sekadar menjadi penonton. Sebaliknya, perlu memainkan peranan aktif memastikan kestabilan serantau terpelihara, kerana kemakmuran Malaysia, Indonesia dan Singapura saling berkait antara satu sama lain.

