ASEAN Main Peranan Besar Sebagai Jambatan Penyatuan Serantau - PM

LocalPolitics
9 May 2026 • 10:11 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

ASEAN Main Peranan Besar Sebagai Jambatan Penyatuan Serantau - PM

KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus memainkan peranan utama dalam memperkukuh perpaduan ASEAN.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata, perana dimainkan Malaysia berupaya menangani ketidakseimbangan pembangunan serantau, susulan berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan di Cebu, Filipina.

Perdana Menteri sejurus selesai sidang kemuncak serantau itu meneruskan perjalanana ke Sabah dan tiba di Kota Kinabalu lewat malam tadi, bagi memulakan lawatan kerja yang tertumpu kepada program libat urus komuniti dan inisiatif pembangunan di Pulau Banggi, iaitu pulau terbesar di Malaysia.

Menerusi hantaran yang dikongsi di Facebook, Anwar berkata, Malaysia telah menyumbang secara aktif dalam memajukan kerjasama ASEAN, khususnya dalam usaha merapatkan jurang pembangunan di rantau ini sambil mempromosikan prinsip yang selaras dengan norma dan undang-undang antarabangsa.

“Walhasil, Malaysia akan terus memainkan peranannya dalam mempererat hubungan antara negara ASEAN, terutamanya dalam mendepani kemelut bekalan tenaga yang bersifat sejagat dan yang sedang merenggut semua,” katanya. 

Menurut beliau, perbincangan di sidang kemuncak itu bukan sahaja tertumpu kepada diplomasi serantau, malah turut melibatkan peluasan rangkaian perdagangan, merangsang pelaburan, memperkukuh hubungan digital dan meningkatkan sekuriti makanan di seluruh Asia Tenggara.

Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak yang berlangsung dari 7 hingga 8 Mei di Cebu. 

Turut mengiringi beliau ialah isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Dalam perkembangan berkaitan, ketibaan Perdana Menteri dan delegasi pada jam 11.12 malam tadi dengan menaiki pesawat khas disambut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunasalam dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Sepanjang lawatan ke Sabah, Anwar dijadual melawat Kudat dan Pulau Banggi, termasuk melawat Pos Dogotan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Banggi. 

Lawatan berkenaan adalah sebahagian daripada penekanan berterusan kerajaan Persekutuan, dalam meningkatkan pembangunan dan perkhidmatan awam di komuniti luar bandar dan pedalaman.

Lawatan itu juga menghidupkan kembali hubungan lama antara Anwar dan pulau tersebut. 

Beliau pada 10 November 1994 ketika berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, telah merasmikan majlis pecah tanah pembinaan bangunan baharu SMK Banggi.

Perdana Menteri juga dijangka menghadiri sesi libat urus komuniti bersama penduduk di Pulau Banggi sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Terletak di pesisir utara Sabah, Pulau Banggi boleh diakses melalui perjalanan feri sejauh 70 kilometer dari Terminal Feri Kudat dan mempunyai keluasan kira-kira 440 kilometer persegi, menjadikannya pulau terbesar di Malaysia. - Getaran, 9 Mei 2026