Aset perindustrian dijangka terus menyumbang kepada pendapatan kukuh Axis REIT - MIDF Research
herman
24/01/2024 - 10:16
KUALA LUMPUR 24 Jan - MIDF Research kekal positif dengan Axis Real Estate Investment Trust (REIT) yang dijangka terus mencatakan prestasi kukuh dalam tahun kewangan 2024 (FY24).
Menurut firma itu, pendapatan daripada aset perindustrian dijangka menyumbang kepada pendapatan kukuh Axis REIT untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
Selain itu, katanya, pertumbuhan pendapatan Axis REIT selanjutnya juga akan dipacu hasil daripada pengambilalihan aset yang berterusan.
"Kami mengekalkan harga sasaran (TP) untuk Axis REIT pada RM1.97 sesaham berdasarkan model diskaun dividen (DDM).
"Kami kekal positif terhadap Axis REIT memandangkan portfolio aset perindustriannya akan kekal bertahan pada masa depan, dipacu permintaan kukuh kepada ruang industri.
"Untuk itu, kami kekal dengan saranan 'beli' Axis REIT," kata MIDF Research dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, kata firma tersebut, pendapatan bersih teras Axis REIT pada FY23 adalah lebih rendah, pada RM143.7 juta iaitu penurunan 8% berbanding FY22 di sebalik pendapatan kasar yang lebih tinggi untuk FY23.
Katanya, pendapatan bersih teras pada suku keempat FY23 pula tertinggi secara tahunan terutamanya disumbangkan oleh hasil sewa Pusat Pengagihan Bukit Raja 2.
"Namun begitu, pendapatan bersih teras tahunan pada FY23 lebih rendah pada RM143.7 juta disebabkan oleh perbelanjaan hartanah yang lebih tinggi dan kos pembiayaan Islam yang lebih tinggi akibat daripada peningkatan dalam kadar pembiayaan," jelas firma itu.- DagangNews.com

