
DENGAN saingan All Stars Gegar Vaganza (ASGV) memasuki peringkat suku akhir malam ini (Ahad), kedua-dua Azharina Azhar dan Nikki Palikat memberi fokus kepada penjagaan kesihatan masing-masing.
Azharina atau lebih akrab disapa Nina, 38, mengakui jadual yang padat sepanjang ASGV bersiaran bukan saja menjejaskan tahap kesihatan, tetapi turut mengganggu emosinya.
“Jadual sepanjang menyertai ASGV sebenarnya agak padat selain banyak kerja harus dilakukan.
“Untuk tiga minit persembahan yang anda tonton di televisyen sebenarnya ia memerlukan beratus-ratus jam dalam satu minggu untuk membuat persiapan.
“Tidak dinafikan ini menyebabkan jadual pemakanan saya tidak menentu, kadang-kadang terpaksa tahan lapar sehingga jam 3 pagi. Pernah juga saya terpaksa dimasukkan ke dalam wad kecemasan akibat gastrik.
“Jadi sekarang tumpuan saya lebih kepada menjaga kesihatan, terutamanya dengan mendapatkan tidur secukupnya, sekurang-kurangnya lapan jam. Kalau tidak, ia akan menjejaskan suara.
“Selebihnya, memang perlu makan ubat, ‘supplement’ dan kawal pemakanan seperti disarankan doktor,” katanya ketika dihubungi Hiburan Ekspres.
Terdahulu, penyanyi Elegi Sepi dan Rawan ini mendedahkan dia berdepan masalah kesihatan kronik hingga menjejaskan kehidupan seharian dan stamina.
Ditanya tentang peluangnya untuk mara ke final, Azharina menyerahkan sepenuhnya kepada percaturan Allah.
“Kalau nak tanya adakah saya yakin untuk ke final, peluang ini semua Allah S.W.T yang tentukan dan saya cuma menjalaninya.
“Tapi, sebagai seorang ‘performer’, saya mesti yakin dengan persembahan saya sendiri. Kalau tidak macam mana peminat mahu ‘judge’ persembahan kita?
“Saya sudah lama berhenti menyanyi untuk juri, sekarang saya cuma mahu menyanyi untuk peminat sebab saya tidak mahu terlalu tertekan.
“Diakui tekanan sepanjang bersaing dalam ASGV ini sangat besar... sangat mengganggu emosi.
“Sebab itu, saya fikir lebih baik saya menyanyi untuk peminat dan diri sendiri supaya saya lebih gembira dalam persembahan saya.
“Saya anggap ini sebagai cara saya untuk ‘reverse psikologi’ agar tidak terlalu tertekan,” kata pemilik vokal ampuh itu.
Mengenai persembahan pada malam ini, Azharina berkata walaupun lagu tugasan yang diberikan nampak mudah tetapi ia berbeza bagi dirinya.
“Cabaran terbesar bagi saya ialah perlu bawa lagu dalam bahasa Sepanyol, kerana ia bukan bahasa pertama saya. Tetapi, Alhamdulillah, sekarang saya sudah hafal liriknya.
“Untuk lagu Rambu Ramba, bagi orang lain mungkin lagu ini macam ‘very simple’ tetapi tidak bagi saya. Bagi saya lagu yang ‘simple’ itu lagi susah daripada lagu yang ‘complicated’.
“Sekarang saya perlu ‘memorize’ dan kaji rentak lagu ini kerana akan ada rutin tarian untuk persembahan pada malam ini,” katanya.
Untuk persembahan suku akhir, juara Bintang RTM 2001 itu akan mendendangkan lagu La Bamba nyanyian asal Ritchie Valens dan Rambu Ramba (Noorshila Amin).
Sementara itu, Nikki yang pernah jatuh sakit beberapa minggu lepas, berkata dia akan lebih berhati-hati terutamanya dalam soal kesihatan agar insiden ini tidak berulang.
“Persiapan yang paling penting ialah menjaga kesihatan sebaik mungkin apatah lagi sekarang musim sakit.
“Selepas demam beberapa minggu lepas, saya masih lagi dalam proses untuk sembuh. Jadi, pada minggu-minggu akhir ini saya akan lebih berhati-hati supaya tidak jatuh sakit lagi,” katanya memberitahu Hiburan Ekspres.
Setelah terselamat daripada tersingkir pada minggu kelapan, penyanyi kelahiran Tambunan ini berkata, kali ini dia nekad untuk memberikan fokus sepenuh hati dalam persembahannya.
Akui Nikki, fokusnya agak ‘lari’ pada minggu tersebut yang membuatkannya berada di kedudukan tercorot ketika itu.
“Saya bersyukur masih berada di ASGV. Di minggu suku akhir ini, saya diberi tugasan membawakan lagu Perhaps, Perhaps, Perhaps dan Macarena.
“Banyak cabaran tetapi yang terbesar adalah menghafal, menghayati dan menyanyi dalam lirik Sepanyol.
“Fokus saya sekarang adalah untuk memberikan persembahan yang sebaik mungkin, menikmati setiap persembahan atas pentas dan penghayatan terhadap setiap lagu.
“Bak kata juri, kena fokus sepenuh hati dan kuatkan minda barulah bebas dari kerisauan,” katanya.
Walaupun persaingan semakin sengit, penyanyi lagu Caramu dan Sudah ini percaya dia tetap perlu memberikan yang terbaik agar berpeluang tinggi mara ke final kelak.
“Ini merupakan satu penghargaan buat seluruh peminat saya kerana mereka telah mengundi saya dalam ‘Hot Seat’ tempoh hari. Kalau tidak, tidak mungkin saya dapat bersaing dalam ASGV.
“Dalam pertandingan antara juara-juara ini, sudah tentu setiap peserta mempunyai peluang yang sama untuk mara ke final. Masing-masing hebat dan ada kekuatan sendiri.
“Semuanya bergantung pada apa yang bakal dipentaskan di peringkat separuh akhir nanti. Kadang-kadang semasa ‘rehearsal’ semuanya okay, tapi pada hari persembahan sesuatu yang tak disangkakan boleh berlaku.
“Saya nampak ini berlaku banyak kali termasuk dengan saya sendiri. Jadi saya tak fokus pada perkara ini, sebaliknya saya menggunakan tenaga saya untuk mencipta sesuatu persembahan yang saya sendiri berasa gembira dan puas hati.
“Jadi saya mohon doakan kesihatan saya dan rakan-rakan di ASGV, supaya kami mampu memberi persembahan yang terbaik buat peminat-peminat kami,” katanya.
ASGV dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse manakala juri tetap pula adalah Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
All Stars Gegar Vaganza bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, setiap Ahad, jam 9 malam secara eksklusif di Astro Ria (Saluran 104).
[email protected]
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
