Asia Barat Bergolak, Ini 5 Sebab Malaysia Dilihat Sebagai "Safe Haven" Pelabur

LocalBusiness & Finance
19 Mar 2026 • 8:28 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Asia Barat Bergolak, Ini 5 Sebab Malaysia Dilihat Sebagai "Safe Haven" Pelabur

Ketegangan geopolitik antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) tidak menunjukkan tanda-tanda untuk tamat dengan segera.

Saban hari, serangan demi serangan telah dilancarkan oleh ketiga-tiga pihak sehingga memusnahkan pelbagai infrastruktur yang menjadi sasaran.

Malah negara Timur Tengah juga tidak terkecuali terkena tempias serangan balas dari Iran.

Lebih membimbangkan, perang yang belum berkesudahan ini turut menjerat seluruh dunia dalam kancah ketidaktentuan pasaran, kenaikan harga minyak, rantaian bekalan dan kos pengangkutan.

Pasaran saham di Asia terdedah kepada kemerosotan yang ketara akibat perang tersebut apabila pelabur meningkatkan ekuiti serantau dan memilih aset selamat seperti dolar AS dan emas.

Ia juga menyaksikan indeks MSCI Asia Pasifik jatuh kira-kira 6 peratus dalam masa seminggu.

Impak tersebut sebahagian besarnya didorong oleh pergantungan besar rantau ini terhadap import bekalan tenaga melalui Selat Hormuz, yang telah ditutup secara efektif. Ketika artikel ini ditulis, minyak mentah Brent meningkat 3.18 peratus kepada AS$110.80 setong.

Kejutan terhadap harga bekalan ini telah meningkatkan kebimbangan mengenai stagflasi iaitu gabungan inflasi yang tinggi dan pertumbuhan yang perlahan.

image is not available
Kredit: Bernama

Di tengah-tengah pasaran yang sedang goyah ketika ini, Malaysia muncul sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara yang menjadi tempat selamat (safe haven) yang relatif di rantau ini.

Berbanding pasaran saham di negara-negara jiran seperti Thailand dan Singapura yang mengalami turun naik yang melampau, Malaysia berada dalam kedudukan yang agak baik untuk menarik pelabur.

Untuk pengetahuan, penanda aras saham di negara kita telah mengatasi rakan serantau bulan ini apabila perang di Iran mengubah pasaran di seluruh dunia. Keadaan ini turut dibantu oleh status Malaysia sebagai salah satu daripada beberapa pengeksport tenaga bersih asia.

Namun, apa faktor yang menjadikan Malaysia tempat selamat untuk pelabur global berbanding negara lain di rantau ini? Sebenarnya Malaysia lebih menonjol berbanding negara-negara Asia Tenggara lain sebelum perang Iran-Israel-AS bermula lagi.

Pelabur lebih memilih negara ini kerana beberapa sebab iaitu:

1. Asas ekonomi yang kukuh

Seperti yang diketahui, pencapaian ekonomi Malaysia dibina berdasarkan asas-asas yang kukuh yang telah memacu daya tahan dan pertumbuhan yang mampan selama ini. Asas-asas tersebut seperti pertumbuhan KDNK yang stabil, lebihan akaun semasa yang berterusan dan komitmen terhadap dasar fiskal yang kukuh membentuk tulang belakang kestabilan ekonomi negara.

Bagi pelabur asing, keadaan ini mewujudkan persekitaran pelaburan yang menggalakkan.

Perkara ini juga turut diakui oleh Ketua strategi ekuiti di CLSA di Singapura, Alexander Redman baru-baru ini. Menurutnya, Malaysia berada dalam kedudukan yang agak baik kerana ia mempunyai lebihan akaun semasa, merupakan pengeksport bersih minyak dan gas dan perkadaran tenaga dalam bakul IHP Malaysia tidak setinggi yang lain.

“Malaysia adalah tempat yang anda tuju apabila keadaan di tempat lain teruk,” katanya.

Sementara itu, peningkatan harga minyak mentah yang didorong oleh konflik Timur Tengah berpotensi meningkatkan pendapatan Malaysia, yang mempunyai sumber minyak dan gas luar pesisir di negeri-negeri Borneo dan Terengganu.

image is not available
Kredit: AFP

Walaupun negara-negara lain bergelut dengan peningkatan kos tenaga, pendapatan berkaitan petroleum di Malaysia diunjurkan menyumbang 12.5 peratus daripada hasil kerajaan pada 2026.

Keadaan ini membantu negara untuk mengelakkan aliran keluar yang besar seperti yang dilihat di pasaran lain. Dana global menjual kira-kira $80 juta saham tempatan secara bersih setakat bulan ini hingga Jumaat lalu, manakala Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI hanya kehilangan 1.2 peratus.

Aliran saham asing kekal positif pada suku ini.

2. Rangsangan dasar

Pelabur memilih Malaysia kerana trajektori ekonomi dan pasaran kewangan negara ini telah dibentuk oleh beberapa dasar yang dirancang dengan baik yang bertujuan untuk memastikan kestabilan, memupuk pertumbuhan dan memacu inovasi.

Dasar-dasar ini mencerminkan kekuatan kapasiti institusi Malaysia, sekali gus menyediakan asas yang kukuh untuk pembangunan mampan.

Salah satu ciri utama pengurusan ekonomi Malaysia ialah keupayaan untuk mengekalkan inflasi yang rendah dan stabil.

Melalui pelaksanaan dasar monetari yang berhemat, Bank Negara Malaysia (BNM) memastikan inflasi kekal rendah dan stabil, sekali gus memupuk persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Selain itu, inisiatif ekonomi Malaysia turut membezakannya daripada negara-negara Asia Tenggara.

Ketika Thailand dan Indonesia menghadapi ketidakpastian dasar, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan rancangan untuk meningkatkan perbelanjaaan dalam industri semikonduktor dan membina keupayaan dalam pembuatan dan tenaga boleh diperbaharui.

image is not available
Kredit: Bernama

Strategi tersebut membantu meningkatkan pelaburan langsung asing ke paras tertinggi sepanjang masa tahun lalu.

Rekod dalam jumlah perdagangan dan ketibaan pelancong turut mendorong Malaysia mengatasi kebanyakan negara Asia Tenggara pada tahun 2025. Kerajaan mengekalkan ramalan bagi tahun ini, meskipun terdapat cabaran geopolitik.

Ketua pegawai pelaburan pendapatan tetap Malaysia dan ketua sukuk global di Amundi, Kuala Lumpur, Tutiana Jusat berkata selain daripada kualiti pertahanan, Malaysia juga berada dalam mod pertumbuhan.

Menurutnya, syarikat-syarikat terus berkembang dan permintaan pelabur untuk terbitan korporat amat menggalakkan.

3. Malaysia sebagai reformis

Perjalanan ekonomi Malaysia merupakan bukti daya tahan dan kebolehsuaiannya, yang menawarkan manfaat yang ketara kepada pelabur domestik dan global.

Sedar atau tidak, sejak beberapa dekad yang lalu, Malaysia telah berubah daripada ekonomi yang berasaskan komoditi kepada ekonomi pelbagai yang terdiri daripada pelbagai industri yang kompleks.

Imbas kembali, ekonomi Malaysia bergantung pada komoditi seperti getah dan timah pada tahun 1960-an dan 1970-an. Selepas itu, perindustrian ekonomi pada tahun 1980-an mencirikan penstrukturan semula ke arah dipacu eksport, yang dimangkin oleh aliran masuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang kukuh dalam tempoh tersebut.

Menjelang tahun 2000-an, Malaysia terus melakukan pembaharuan dengan beralih ke arah ekonomi berorientasikan perkhdimatan. Ia merangkumi perkhidmataan kewangan, pelancongan dan teknologi maklumat.

Secara beransur-ansur, ia menjadi penyumbang utama kepada KDNK negara, mewakili lebih separuh daripada ekonomi menjelang 2023.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini pula, Malaysia terus menjalankan usaha untuk memperdalam dan membangunkan pasaran kewangannya.

Kedudukan Malaysia dalam ekosistem cip global juga akan menjadi lebih menarik pada ketika ini.

image is not available
Kredit: Bernama

Ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan Capital Dynamics Sdn Bhd, Tan Teng Boo menjangkakan penanda aras saham akan meningkat kepada 2,500 hingga 3,000 dalam tempoh dua tahun.

Kedudukan Malaysia dalam pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor juga telah diperkukuh.

Bahkan, Malaysia juga menjadi destinasi yang berkembang pesat bagi pusat data kecerdasan buatan di rantau ini. Sektor itu telah menyumbang sebanyak RM14.1 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2025.

Dalam pada itu, pelaburan di negeri Johor iaitu hab pusat data paling pesat ASEAN terus mendapat momentum. Penubuhan zon ekonomi khas bersama Singapura mungkin membuka jalan untuk lebih banyak projek di sana.

Perkembangan ini membantu menyokong pelaburan Malaysia memandangkan dana mencari tempat perlindungan yang selamat semasa tekanan.

4. Ringgit mengukuh

Walaupun nilai ringgit lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat pada pagi Khamis, namun ringgit telah dibuka tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Malah, ringgit tetap mengukuh sejak beberapa hari lalu meskipun ‘diasak’ dengan tekanan akibat perang.

Keadaan ini sekaligus berkait dengan perkembangan positif ekonomi Malaysia.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi berkata bahawa ringgit Malaysia yang lebih kukuh turut membantu mengurangkan kesan kenaikan harga import global.

image is not available
Kredit: Bernama

Menurutnya, kedudukan makroekonomi Malaysia kini secara amnya lebih kukuh berbanding semasa prapandemik, dengan kebanyakan petunjuk utama berada pada tahap yang lebih sihat.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin pada Februari lalu berkata prestasi mata wang tempatan yang kembali ke paras lebih kukuh mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan ekonomi negara.

5. Pasaran kewangan yang meriah

Mungkin ramai tidak tahu, pasaran kewangan Malaysia adalah antara yang paling maju di Asia Tenggara. Ia sekaligus menawarkan pelabur akses kepada pasaran yang mendalam dan maju.

Elemen utama pasaran kewangan Malaysia merangkumi sistem kewangan yang mantap, kelas aset yang pelbagai, pasaran saham yang meriah dan kecairan dan kebolehcapaian.

Malaysia juga diiktiraf di peringkat global sebagai hab utama kewangan Islam. Kedudukan itu telah dibina melalui pembangunan strategik dan inovasi selama beberapa dekad.

Seperti yang diketahui, Malaysia mempunyai sistem kewangan Islam yang komprehensif merangkumi perbankan Islam, Takaful (insurans Islam) dan pasaran modal Islam.

Institusi seperti Bank Negara Malaysia , Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan mengawal selia industri kewangan Islam.

image is not available
Kredit: Bernama

Kehadiran institusi kewangan Islam tempatan dan asing yang terkemuka serta komitmen negara terhadap inovasi berterusan dan kecemerlangan kawal selia memastikan Malaysia kekal di barisan hadapan industri kewangan Islam global, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang kepada pelabur yang ingin menambah aset patuh Syariah dalam portfolio mereka.

Tuntasnya, pasaran global tidak boleh lari dari impak perang Iran-Israel-AS. Namun, keyakinan pelabur terhadap pasaran saham tidak luntur dengan kemunculan Malaysia sebagai tempat yang selamat untuk mereka.

Walaupun sentimen semasa menunjukkan tahap ketidapastian ekonomi global telah meningkat, pertumbuhan domestik Malaysia yang kukuh, kadar inflasi sederhana, sistem kewangan mantap serta sektor luaran berdaya tahan akan terus menyokong ekonomi negara.