Seorang penghantar makanan yang membakar kereta polis bantuan di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) minggu lalu, telah dihadapkan di dua mahkamah di Kuala Lumpur atas dua pertuduhan melakukan khianat.
Tertuduh, Mohamad Hasif Syazani Zulkifle, 26, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh dan Majistret Farah Azura Mohd Saad.
Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan khianat api dengan membakar Proton Preve putih milik polis bantuan Prasarana di Stesen MRT Mutiara Damansara, jam 1.17 pagi pada 15 Februari lalu.
Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menconteng dinding di stesen terbabit, jam 1.10 pagi pada tarikh yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim dan Noor Khairun Nisa Noor Harun, mencadangkan jaminan RM15,000 dan RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin. Mereka juga memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Peguam bela tertuduh, Kailash Sharma, memohon jaminan minimum dengan menegaskan bahawa anak guamnya tiada risiko melarikan diri dan rekod jenayah.
Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM9,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mac ini.
Sumber: Berita Harian
The post Asip mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bakar kereta polis bantuan appeared first on The Reporter.

