Astaka beralih ke teknologi kesihatan, perkenal lampu khas bantu kurangkan bakteria dan kulat

LocalHealth & Fitness
7 Oct 2026 • 3:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Astaka beralih ke teknologi kesihatan, perkenal lampu khas bantu kurangkan bakteria dan kulat Image from: Astaka beralih ke teknologi kesihatan, perkenal lampu khas bantu kurangkan bakteria dan kulat liza07/10/2026 - 15:38 Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Holdings Limited, Allen Khong Chung Lun; Pengerusi Astaka Holdings Limited, Victor Lai Kuan Loong; dan Ketua Pegawai Eksekutif Evergrown Holdings Berhad, Nelson Lim Thow Loon, ketika melancarkan jenama “SOL” di Johor Bahru Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt – Astaka Holdings Limited beralih daripada perniagaan pembangunan hartanah kepada sektor teknologi kesihatan dengan memperkenalkan Sol, jenama yang menawarkan lampu khas untuk membantu mengurangkan bakteria dan kulat dalam persekitaran dalaman.

 

Produk pertama Sol menggunakan teknologi AuraProtect™ yang menggabungkan salutan nano khas dengan proses pengaktifan cahaya, di mana salutan itu diaktifkan apabila lampu dinyalakan

 

Berdasarkan ujian dalam pelbagai keadaan, AuraProtect™ dapat membantu mengurangkan bakteria tertentu, kulat serta bahan yang menyebabkan bau dalam persekitaran dalaman, sekali gus membantu meningkatkan kualiti udara dalaman.

 

Langkah itu dibuat selepas Astaka Holdings melupuskan perniagaan pembangunan hartanahnya yang merangkumi Astaka Padu Sdn Bhd dan anak syarikatnya pada 3 September 2026.

 

Sol sasar pasaran pengguna dan sektor komersial

Produk pertama Sol ialah “The World’s First Active Protection Light” yang mengintegrasikan teknologi berkenaan ke dalam pencahayaan harian.

 

Produk itu menyasarkan pengguna rumah, termasuk isi rumah yang mempunyai kanak-kanak, warga emas dan haiwan peliharaan, selain mereka yang berdepan masalah kulat serta bau dalam ruang dalaman.

 

Rangkaian produk akan datang pula menyasarkan sektor yang mementingkan kualiti persekitaran dalaman seperti penjagaan kesihatan, pemprosesan makanan, stesen MRT, pengangkutan awam, pejabat dan sekolah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Astaka Holdings Limited, Allen Khong berkata Sol menawarkan penyelesaian yang berkesan dan cekap tenaga tanpa menggunakan ruang lantai.

 

Menurutnya, permintaan terhadap penyelesaian teknologi kesihatan dan kualiti udara dalaman didorong kebimbangan terhadap alergi, jerebu, pelepasan bau daripada aktiviti memasak serta tempoh masa yang panjang dihabiskan di dalam bangunan.

 

Kerjasama Evergrown perluas peluang perniagaan

Sol dibangunkan menerusi kerjasama dengan Evergrown Holdings Berhad, pengeluar produk lampu teknologi kesihatan dari Johor yang mempunyai teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri.

 

Pada 26 Februari 2026, Astaka Holdings mengumumkan rancangan untuk menceburi sektor teknologi kesihatan dan memeterai perjanjian eksklusif dengan anak syarikat Evergrown bagi pembuatan serta pembekalan peralatan elektrik LED pensterilan di Singapura.

 

Pada 2 Oktober 2026, kedua-dua pihak memeterai Perjanjian Novasi dan Tambahan yang memperluas skop kerjasama dari segi geografi dan produk.

 

Melalui perjanjian itu, anak syarikat milik penuh Astaka Holdings, Sol Tech (S) Pte. Ltd, memperoleh hak pemasaran, jualan dan pengedaran seluruh dunia bagi rangkaian peralatan elektrik yang lebih luas, selain hak pertama untuk memasarkan dan menjual produk baharu Evergrown.

 

Malaysia dan Singapura jadi pasaran awal

Sol akan dilancarkan terlebih dahulu di Malaysia dan Singapura sebelum diperluas ke tujuh pasaran tambahan di Asia dalam tempoh tiga tahun, termasuk China, Indonesia, Vietnam, Thailand dan India, tertakluk kepada kesediaan pasaran dan keperluan berkaitan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Evergrown Holdings Berhad, Nelson Lim berkata, permintaan terhadap teknologi syarikat itu meningkat sejak dua tahun lalu, dengan produknya kini digunakan di 11 hospital dan 20 sekolah awam di Malaysia.

 

Beliau berkata kerjasama dengan Astaka Holdings dan Sol diharap dapat menjadikan teknologi berkenaan lebih mudah diakses bagi membantu meningkatkan kualiti ruang kediaman, tempat kerja dan pembelajaran.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved