Asyik kena pukul, Ezzanie Jasny jadi selektif

Entertainment
19 Sep 2026 • 11:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Asyik kena pukul, Ezzanie Jasny jadi selektif

KEUPAYAAN seorang pelakon mengheret penonton masuk ke dalam luka watak tanpa menjadikan emosi kelihatan dibuat-buat bukan perkara mudah, lebih-lebih lagi apabila karakter menuntut tangisan, penderitaan dan konflik jiwa secara berterusan.

Namun, pelakon meningkat naik, Ezzanie Jasny membuktikan dirinya bukan hanya pelakon pelengkap apabila berjaya menghidupkan beberapa watak berat dengan penghayatan cukup meyakinkan sepanjang enam tahun berkecimpung dalam industri seni.

Daripada melunaskan karakter isteri dan ibu dikhianati menerusi Layang-Layang Perkahwinan, Ezzanie kemudian meneruskan rentak menerusi Bulan Henti Bicara arahan Eyra Rahman.

Dua naskhah berkenaan memperlihatkan sisi lakonannya lebih matang, khususnya ketika berdepan karakter sarat konflik serta emosi.
Bagaimanapun, di sebalik pujian dan kepuasan melihat watak berat meninggalkan kesan kepada penonton, pelakon berusia 27 tahun itu mengakui tubuh serta emosinya juga memerlukan ruang untuk bernafas.

Bukan kerana mahu melarikan diri daripada cabaran, sebaliknya pemilik nama sebenar Nur Ezzanie Sherazade Jasny itu mahu keluar daripada acuan wanita terseksa.

“Harapan saya untuk karya seterusnya, pertama sekali mahu mengelakkan cerita berat buat sementara waktu. Tahun ini dan tahun lalu saya rasa terlalu banyak membawa watak berat. Harapan tetap sama, mahu setiap cerita perlu memberikan impak, menyampaikan pengajaran kepada penonton. Dalam masa sama, saya rasa sudah tiba masanya saya memilih jalan cerita mengikut kesesuaian diri kerana perlu berehat seketika daripada karya berat.

“Ramai juga meminta saya mencuba komedi romantik. Saya pernah berlakon dalam genre itu sekali sahaja sebelum ini, jadi mudah-mudahan selepas ini ada peluang untuk saya mencubanya lagi,” katanya kepada HibGlam.

Paling penting kata Ezzanie, keputusannya untuk lebih selektif terhadap watak bukan bermaksud enggan menerima cabaran atau sengaja memilih tawaran sebaliknya mahu memastikan perjalanan seninya tidak terperangkap dalam satu acuan sahaja.

“Saya masuk industri ini kerana mahu lebih banyak karakter dan jalan cerita berbeza. Kalau dilihat sepanjang dua tahun ini, saya banyak buat cerita lebih kurang sama.

“Kalau ada orang mahu melabel saya sebagai pelakon memilih watak, mungkin mereka perlu lihat semula karya-karya pernah saya jayakan serta karakter dibawa. Saya harap mereka juga terbuka untuk melihat saya mencuba watak lain.

“Saya enggan terus dicop sebagai pelakon cerita berat atau hanya dikenali melalui watak wanita kena pukul.

“Bukan bermaksud memilih secara keterlaluan, tetapi kita memang boleh membuat pilihan dalam menentukan hala tuju kerjaya,” ujarnya.

Kendatipun mahu berehat daripada karakter berat, Ezzanie tidak pernah melihat keputusan berkenaan sebagai langkah berundur.

Dia sebaliknya mahu menggunakan peluang selepas ini untuk menunjukkan dirinya mampu bergerak lebih jauh daripada karakter sarat air mata dan konflik.

Selepas berakhir drama Bulan Henti Bicara pada 10 September lalu, Ezzanie kini bersiap untuk kembali ke set penggambaran bagi menjayakan karya terbaharunya.

The post Asyik kena pukul, Ezzanie Jasny jadi selektif appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved