
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki secara terbuka menzahirkan pelawaan kepada PAS untuk kembali bertaut di meja rundingan, mengutamakan agenda penyatuan ummah serta agenda besar pembangunan negara.
Langkah politik terbaharu ini hadir sejurus selepas kepimpinan tertinggi PAS memberi bayangan jelas bahawa keutuhan hubungan mereka dengan Bersatu kini berada di persimpangan jalan.
“Kembalilah ke Rumah Bangsa, kita bina negara bersama,” luah Asyraf menerusi satu catatan di laman Facebooknya, satu seruan yang dilihat cuba menyentuh sanubari akar umbi kedua-dua parti yang pernah bernaung di bawah gagasan Muafakat Nasional sebelum ini.
Kesabaran PAS ada batas
Kenyataan terbuka Umno itu menyusul selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan bahawa parti Islam tersebut sedang mengkaji dan menilai semula hubungan politiknya dengan Bersatu, sekutu utamanya dalam gabungan pembangkang PN.
Di sebalik ketenangan luaran, Abdul Hadi memberi amaran keras kepada Bersatu bahawa kesabaran parti itu ‘ada batas’ susulan beberapa tindakan parti serpihan Umno itu yang didakwa melanggar semangat setia kawan dalam gabungan pembangkang.
Menurut beliau, PAS tidak bercakap kosong sebaliknya telah mengkaji satu persatu tindakan Bersatu yang dilihat menggugat keharmonian mereka.
Antara isu sensitif yang mengguris hati kepimpinan PAS termasuklah tindakan Adun Bersatu di Negeri Sembilan yang bertindak menyokong Umno untuk membentuk kerajaan negeri, isu peralihan kuasa yang berlaku di Perlis, serta campur tangan Bersatu dalam pelantikan barisan Exco di Kedah dan jawatan Timbalan Speaker di Kelantan.
Pintu rundingan dikunci rapat
Bagaimanapun, impian untuk melihat Umno dan PAS kembali ‘bersanding’ bukan satu tugas yang mudah. Walau selembut mana pun pelawaan Umno, Abdul Hadi dengan tegas meletakkan garisan merah yang sukar untuk dikompromi.
Beliau menutup rapat pintu rundingan untuk kembali mengikat tali persahabatan dengan Umno, sekiranya parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu kekal setia di dalam Kerajaan Perpaduan bersama DAP.
“Tak timbul (isu kerjasama). Tak ada kerjasama dengan Umno kalau Umno bergabung dengan DAP,” tegas Abdul Hadi, sekali gus meletakkan noktah keras kepada sebarang spekulasi penyatuan semula yang melibatkan baki gabungan sedia ada.
Ketika dinamika politik terus berubah, persoalan kini terarah kepada masa depan PN—adakah retak ini akan berakhir dengan perpisahan, atau sekadar gertakan politik dalam menentukan siapa 'abang besar' yang sebenar. - Mei 22, 2026
The post Asyraf pelawa PAS sertai ‘Rumah Bangsa’, syarat Hadi tiada DAP appeared first on Scoop.

