AT&S, institusi TVET latih anak tempatan kuasai teknologi cip

LocalTechnology
6 May 2025 • 2:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AT&S, institusi TVET latih anak tempatan kuasai teknologi cip

image is not available

06/05/2025 - 14:45

Gambar/AT&S Worldwide

KUALA LUMPUR 6 Mei - Syarikat teknologi dari Austria, AT&S, giat melatih tenaga kerja tempatan sebagai sebahagian usaha menjadikan hampir semua kakitangan kilangnya di Malaysia terdiri daripada rakyat negara ini.

Naib Presiden Kanan AT&S untuk Perniagaan Mikroelektronik, Ingolf Schroeder berkata, syarikatnya bekerjasama dengan pusat latihan vokasional dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mencapai sasaran tersebut.

Kilang berkenaan yang terletak di Kulim, Kedah kini menghasilkan litar bersepadu (IC) atau tapak cip untuk syarikat global seperti Advanced Micro Devices (AMD) yang digunakan dalam kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi.

"AT&S turut menyediakan latihan asas dan profesional bersama institusi TVET bagi memastikan proses pengambilan pekerja baharu dalam kalangan rakyat tempatan berjalan lancar," katanya kepada pemberita semasa lawatan di kilang AT&S di Taman Teknologi Tinggi Kulim, semalam seperti laporan Free Malaysia Today.

Schroeder berkata, pihaknya memerlukan kerjasama universiti untuk menyesuaikan kandungan latihan agar lebih relevan dengan industri dan memudahkan pelajar menyesuaikan diri.

"Setakat ini, kerjasama dengan pihak berkenaan sangat baik," ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan AT&S Malaysia, Yap Suan See berkata, pihaknya turut menghantar pakar industri ke institusi pendidikan tempatan bagi memberi tunjuk ajar kepada pelajar.

"Kami juga menyediakan program yang sesuai dengan minat pelajar. Ada yang lebih suka pengalaman praktikal di kilang, jadi kami beri mereka pendedahan itu," jelasnya.

Menurut beliau, universiti tempatan masih belum menawarkan kursus khusus berkaitan IC yang juga komponen penting dalam semikonduktor, telefon pintar, elektronik industri, automotif, peranti perubatan dan teknologi AI.

"Oleh itu, kami bekerjasama dengan institusi pendidikan untuk membangunkan modul dan latihan yang sesuai supaya pelajar lebih bersedia," tambahnya.

Graduan baharu yang diambil bekerja juga diberi latihan intensif sebelum mula bekerja sepenuhnya.

Kilang AT&S di Kulim kini mempunyai 1,500 pekerja dan merupakan kemudahan pertama syarikat itu di Asia Tenggara.

Kerja pembinaannya bermula pada November 2021 dan operasi komersial bermula awal tahun ini.

Syarikat itu telah melabur lebih RM5 bilion di Malaysia sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan Fasa 1 bernilai RM8.5 bilion, termasuk RM600 juta untuk penyelidikan dan pembangunan.

Pengeluaran besar-besaran IC berteknologi tinggi di kilang itu bermula Mac lalu. - DagangNews.com

standard