Atasi banjir berulang, RTB Sungai Damansara dijangka siap 2031

LocalEnvironment
10 Apr 2026 • 8:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 10 APRIL: Projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Damansara bernilai RM481 juta yang dirancang bagi menangani banjir berulang di sekitar Kota Damansara dijangka siap sepenuhnya menjelang 2031.

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Izuan Kasim berkata projek berimpak tinggi itu melibatkan keseluruhan jajaran Sungai Damansara, termasuk kawasan kerap terjejas seperti Jalan Merbau, Jalan Tembusu dan Jalan PKNS di Kampung Melayu Subang.

"Apabila siap kelak, projek ini dijangka mampu mengurangkan kejadian banjir berulang secara menyeluruh di kawasan terlibat," katanya kepada Media Selangor.

image is not available
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim dalam program Rancak Raya: Cerita Raya YB terbitan Media Selangor pada 6 Mac 2026, Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, projek berkenaan telah diluluskan dan dianugerahkan kepada kontraktor dilantik, dan kini berada dalam peringkat reka bentuk sebelum pelaksanaan fizikal dimulakan.

Pada masa sama, beliau memaklumkan langkah jangka pendek terus dipergiat bagi mengurangkan impak banjir sementara menunggu projek jangka panjang itu siap sepenuhnya.

"Antara langkah segera ialah kerja mengorek, membesarkan dan mendalamkan sungai serta laluan utama pengaliran air di Kampung Melayu Subang.

"Di Seksyen U5, tiga kolam takungan dikenal pasti untuk diselenggara dan didalamkan bagi menahan sebahagian aliran air daripada terus melimpah ke kawasan penempatan," ujarnya.

image is not available
Apabila siap kelak, Projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Damansara dijangka mengurangkan banjir berulang secara menyeluruh di kawasan terlibat. Foto ihsan Izuan Kasim

Izuan berkata, kawasan ‘low point’ seperti di Seksyen U4 dikenal pasti menyebabkan aliran air berbalik dan bertakung, sekali gus menyumbang kepada kejadian banjir.

Tambah beliau, bantuan segera turut disalurkan setiap kali banjir berlaku bagi membantu penduduk terjejas.

"Sejumlah RM100,000 hingga RM150,000 telah disalurkan sejak saya menjadi wakil rakyat, termasuk penyediaan makanan, pakaian dan keperluan asas.

"Setiap kali banjir berlaku, bantuan segera akan disalurkan bagi meringankan beban penduduk," katanya.

View Original Article