DALAM suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, beberapa rakan yang pulang ke utara Semenanjung melalui laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua berkongsi pengalaman mereka.
Menariknya, mereka bukan bercerita tentang kesesakan luar biasa atau perjalanan yang meletihkan – sebaliknya mengenai satu pengalaman yang berbeza.
Perjalanan terasa lebih lancar, urusan tol lebih teratur dan yang paling ketara, tiada lagi kebimbangan tentang baki kad, gangguan RFID atau memilih lorong 'betul'.
Namun apabila kembali ke Lembah Klang, realitinya berubah. Kesesakan kembali menjadi norma. Gangguan di plaza tol kembali menghantui.
Di sinilah timbul persoalan yang lebih besar. Mengapa pengalaman yang lebih baik ini hanya terhad kepada sebahagian laluan, sedangkan keperluannya jauh lebih mendesak di kawasan seperti Lembah Klang?
Inilah yang semakin dikenali sebagai 'kelesuan tol' – satu keadaan apabila pengguna bukan sahaja membayar untuk menggunakan lebuh raya, tetapi turut menanggung kos masa, tekanan dan ketidakcekapan sistem yang berlarutan.
Implikasinya melangkaui keselesaan semata-mata. Kesesakan berpanjangan meningkatkan kos logistik, menjejaskan produktiviti dan yang semakin kritikal hari ini — membazirkan penggunaan bahan api secara tidak perlu.
Dalam konteks krisis tenaga global semasa, apabila harga minyak dunia meningkat, isu ini menjadi lebih mendesak.
Mengurangkan masa menunggu di plaza tol bukan sekadar soal keselesaan, ia adalah soal kecekapan tenaga dan pengurusan kos negara.
Namun isu ini juga perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar iaitu mobiliti negara secara keseluruhan. Mobiliti hari ini bukan lagi sekadar pergerakan dari satu titik ke satu titik yang lain. Ia adalah asas kepada produktiviti ekonomi, keberkesanan logistik dan kualiti hidup rakyat di kawasan bandar.
Atas sebab itu, penyelesaian kepada 'kelesuan tol' bukan sekadar penambahbaikan teknikal tetapi sebahagian daripada keperluan mendesak untuk mempercepatkan pendigitalan sistem mobiliti negara.
Menariknya, penyelesaian tersebut sebenarnya sudah wujud dan sedang dilaksanakan di dalam negara.
Di utara Semenanjung, sistem JustGO berasaskan teknologi Automatic Number Plate Recognition (ANPR) sedang diperkenalkan sebagai pendekatan baharu kepada pengurusan tol.
Sistem ini membolehkan pemandu melalui mana-mana lorong tanpa perlu bergantung kepada kad fizikal atau peranti tambahan dengan pembayaran dibuat secara digital melalui aplikasi.
Ini merupakan contoh jelas bagaimana teknologi boleh digunakan untuk mengurangkan geseran (friction) dalam sistem mobiliti — menghapuskan titik henti yang tidak perlu, mempercepatkan aliran trafik, dan meningkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhan.
Pendekatan ini juga lebih inklusif kerana dilaksanakan secara berperingkat, memberi ruang kepada pengguna untuk menyesuaikan diri, termasuk golongan warga emas dan mereka yang kurang terdedah kepada teknologi baharu.
Lebih penting, sistem ini berpotensi mempercepatkan aliran trafik dengan ketara. Anggaran awal menunjukkan ia mampu meningkatkan kelancaran sehingga sekitar 30 peratus berbanding sistem konvensional.
Namun persoalan yang semakin mendesak ialah jika penyelesaian ini sudah terbukti dan sedang berjalan, mengapa ia belum diperluaskan secara nasional khususnya di Lembah Klang, yang menanggung beban trafik paling tinggi setiap hari?
Dalam konteks ini, isu sebenar bukan lagi soal teknologi. Isunya adalah kepantasan pelaksanaan dan keutamaan dasar.
Jika negara serius untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos ekonomi, dan mengoptimumkan penggunaan tenaga dalam keadaan harga minyak global yang tinggi, maka transformasi sistem tol tidak boleh lagi bergerak secara perlahan.
'Kelesuan tol' bukan sekadar rungutan pengguna. Ia adalah refleksi kepada keperluan reformasi yang lebih besar — untuk memastikan sistem mobiliti negara berkembang seiring dengan tuntutan ekonomi dan realiti teknologi hari ini.
Apa yang diperlukan hanyalah pelaksanaan yang lebih pantas dan berani.
*Azmi Tarmizi ialah Editor Eksekutif di Sinar Harian. Anak jati Felda Soeharto ini pernah menjadi SU Akhbar Perdana Menteri kesembilan


