
KOMPOSER dan penyanyi, Ateng terkejut apabila videonya menyanyi bersama anaknya, Viola Vicentia atau lebih dikenali sebagai Lula, menerima lebih sejuta tontonan di platform Tiktok hanya dalam tempoh sehari.
Kini, video berkenaan yang menyaksikan mereka berdua menyanyikan lagu London Bridge is Falling Down sudah menerima hampir empat juta tontonan sejak seminggu ia dimuat naik.
“Seperti biasa setiap hari saya akan melihat notifikasi atau pemberitahuan di dalam mana-mana laman sosial saya, termasuklah TikTok, pelik juga tiba-tiba video tersebut ada banyak tontonan, mulanya saya anggap normal.
“Namun, pada awal pagi esoknya pula, jumlah tontonan sudah melebihi sejuta, dan jumlah pengikut juga melebihi 14,000 dalam masa sehari,” katanya kepada Hiburan Ekspres, Khamis.
Setakat Khamis jumlah tontonan video berkenaan sudah pun mencecah 3.4 juta manakala jumlah pengikut akaun Ateng di bawah nama @baha_tungau_studio juga meningkat kepada 18.8 ribu daripada hanya 8 ribu.
VIDEO Ateng dan anaknya, Lula menyanyikan lagu London Bridge is Falling Down meraih sejuta tontonan di TikTok hanya dalam tempoh sehari.
Katanya, lebih melucukan, komen-komen yang diberi oleh pengunjung mengaitkan lagu London Bridge is Falling Down dengan karakter Jack The Ripper dalam sebuah siri anime Netflix, Record of Ragnarok.
“Saya pun rasa pelik juga sedangkan lagu ini merupakan lagu kanak-kanak sejak dahulu lagi. Bagi saya, video ini biasa-biasa saja.
“Niat saya cuma mahu berkongsikan video saya menyanyi bersama anak, tidak sangka pula ia mampu meraih perhatian sehingga begini.
“Mungkin penangan daripada peminat anime. Saya ada juga buat ‘research’ apa kaitan lagu ini dengan anime tersebut. Rupanya, terdapat babak dalam siri itu yang menyaksikan karakter Jack The Ripper menyanyikan lagu ini.
“Sekarang, kalau cari lagu London Bridge is Falling Down di TikTok, video saya dan Lula menjadi antara video yang paling banyak menerima tanda suka
“Bila difikirkan geram juga, lagu saya yang terbaru di YouTube tidak pula mendapat sambutan sebegini,” katanya berseloroh.
Ateng atau nama sebenarnya Joanes Robert Johnny berkata, berdasarkan komen-komen yang diberikan, video berkenaan bukan sahaja menerima perhatian penonton tempatan tetapi juga dari luar negara antaranya, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Amerika Syarikat dan Jepun.
“Saya sangat berterima kepada semua yang telah menonton video tersebut. Saya tidak menyangka mereka memberikan komen positif dan pujian khususnya kepada bakat nyanyian Lula.
“Lebih melucukan, ada juga yang hantar DM (mesej peribadi) untuk minta saya ajar chord gitar untuk lagu London Bridge is Falling Down,” katanya.
Menurutnya, perhatian yang diberikan itu juga menaikkan lagi semangatnya untuk menghasilkan lebih banyak kandungan di TikTok khususnya bersama anaknya, Lula.
“Selepas ini, saya mahu buat lebih banyak kandungan nyanyian bersama Lula yang boleh memberikan inspirasi kepada ibu bapa dan anak-anak untuk menunjukkan bakat menerusi TikTok.
“Selain itu, saya juga mungkin akan mengadakan siaran langsung (live) di platform ini dengan lebih kerap. Setakat ini baru dua kali saya buat live bersama-sama Lula.
“Biasanya, menerusi live selain untuk menunjukkan bakat atau kandungan kita, orang akan bagi gift atau coins sebagai penghargaan kepada apa yang mereka nampak semasa kita buat live,” katanya.
Sementara itu, bercakap tentang perkembangan seni terbarunya, Ateng berkata dia baru saja melancarkan single baharu, Sia OK Saja awal bulan ini.
Lagu berkenaan turut menandakan pembuka tirai kepada karier seni nyanyiannya tahun ini, katanya.
“Lama saya tidak menyanyi dan mengeluarkan lagu sendiri kerana lebih banyak sibuk di belakang tabir menghasilkan lagu untuk penyanyi lain.
“Untuk tahun ini, saya mahu kembali aktif menyanyi. Kalau tiada aral melintang, saya ingin hasilkan satu lagu kanak-kanak untuk dinyanyikan oleh anak saya, Lula,” katanya.
Mengulas lanjut tentang single Sia OK Saja, Ateng berkata menerusi lagu berkenaan dia menyuntik beberapa perkataan yang menggunakan dialek Melayu Sabah.
“Saya harap lagu-lagu yang menggunapakai lirik dialek Melayu Sabah ini akan mula mendapat tempat di negeri ini, lebih baik lagi jika turut diterima di seluruh negara sebagai antara identiti kita sebagai rakyat Sabah.
“Kita tidak payah malu-malu cakap bahasa dan dialek kita yang unik,” katanya lagi, dan menambah, lagu Sia OK Saja sudah pun mula dimainkan di corong-corong radio tempatan.
Video lirik Sia Ok Saja boleh ditonton di akaun YouTube Ateng, Baha Tungau Studio.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
