Atlet karate digesa gunakan kemahiran, pengetahuan untuk kebaikan masyarakat

5 Nov 2023 • 1:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

RANAU: Atlet karate digesa menggunakan kemahiran, disiplin dan pengetahuan dalam bidang itu untuk kebaikan kepada masyarakat dan bukannya menunjuk-nunjuk.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, disiplin tertinggi yang dipelajari daripada sukan ini ialah kesabaran dan ia perlu sentiasa diamalkan dalam kehidupan seharian ketika bergaul dalam masyarakat.

“Ini adalah disiplin diri yang mengajar kita untuk mengawal diri, dan mempertahankan diri jika ada situasi buruk menimpa kita melalui seni yang kita pelajari.

“Justeru, saya percaya karate merupakan acara sukan yang sangat bagus yang dibangunkan di sekolah dan golongan muda amat digalakkan menyertai sukan sebegini,” katanya.

Jonathan berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Karate Daerah Ranau 2023 anjuran Persatuan Shito-Ryu Karate-Do Ranau di Dewan Masyarakat Ranau pada Sabtu.

Beliau memuji usaha gigih dan komitmen tinggi yang diberikan oleh pengasas persatuan karate itu yang berjaya membangunkan persatuan itu dari awal hingga ke hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, penaja, penyumbang dan semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang bertungkus lumus memastikan kejohanan itu berjaya.

“Saya berharap persatuan ini akan terus berkembang maju di daerah Ranau, seterusnya memberi impak positif kepada golongan muda di daerah ini yang boleh mereka gunakan sepanjang hayat,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Jurulatih Persatuan Shito-Ryu Karate-Do Ranau, Malcom Marwill berkata, buat julung kali persatuan itu menganjurkan kejohanan sebesar ini yang menarik lebih 350 peserta.

“Seperti semua sedia maklum, seni mempertahankan diri merupakan acara sukan popular yang menyumbang pingat kepada negara dalam mana-mana pertandingan antarabangsa seperti pingat emas dan perak dalam Sukan Asia baru-baru ini.

“Sebagai jurulatih, pastinya kami berharap acara sukan ini akan berkembang maju di pelbagai bahagian dan juga di mana-mana kejohanan di samping menggilap bakat dan potensi anak muda.

“Kita mahu anak muda hari ini mampu mengharumkan nama negeri dan negara apabila menyertai mana-mana pertandingan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Malcom berkata, beliau berharap lebih ramai atlet muda akan dilahirkan terutama dari Ranau yang mampu membawa cabaran dalam karate ke peringkat lebih tinggi, dan kejohanan seperti yang diadakan hari ini akan menjadi titik tolak buat mereka.

“Acara sebegini bukan sahaja sebagai wadah kita melihat potensi yang boleh diasah malah memberi peluang kepada bakat baharu yang bakal mewarnai persada seni bela diri negara.

“Justeru kita memerlukan sokongan daripada banyak pihak seperti ibu bapa, sekolah, malah kerajaan dan pemimpin untuk sebarang aktiviti yang dijalankan oleh persatuan untuk memperkasakan kemahiran anak-anak kita,” katanya.

Program itu turut dijayakan oleh agensi lain seperti kakitangan tabung darah Hospital Ranau yang turut menjalankan aktiviti kempen derma darah sepanjang program berlangsung.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

View Original Article