Atlet Paralimpik Wajib Ada Pengiring Di Luar Negara - Hannah Yeoh

18 Feb 2023 • 6:17 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hannah Yeoh berbual dengan salah seorang atlet paralimpik ketika melakukan lawatan rasmi ke Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, di sini, hari ini. - Gambar oleh Azim Rahman

KUALA LUMPUR - Semua atlet paralimpik negara wajib diiringi pengiring bagi penyertaan di peringkat antarabangsa, berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, kementeriannya bersetuju untuk menguatkuasakan ketetapan itu, yang akan diselaraskan Majlis Sukan Negara (MSN) bersama-sama Majlis Paralimpik Malaysia (PCM). 

Keputusan itu dibuat selepas mengadakan  perjumpaan (town Hall) dengan PCM pada Disember lalu, berikutan kebimbangan negara tidak dapat menghantar pegawai yang mengiringi atlet paralimpik kerana kekangan bajet.

image is not available
Hannah Yeoh

 “Ini tidak boleh dirunding. Kami tidak boleh hanya menghantar atlet paralimpik kami untuk bertanding di luar negara. Saya tidak akan benarkan anak perempuan saya berumur 17 tahun dihantar sendiri ke luar negara, apatah lagi anak berkerusi roda misalnya. 

“Amat bahaya untuk mereka keluar dan bersaing sendiri. Kami mahu memastikan keperluan dan keselamatan atlet para negara sentiasa dijaga, memastikan tumpuan dan persiapan mereka tidak terjejas." kata Yeoh.

Ahli Parlimen Segambut itu ditemui pada sidang media selepas melakukan lawatan rasmi ke Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kg Pandan, di sini, hari ini. 

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian yang baharu dilantik, K Nagulendran; Ahli Lembaga MSN, Stuart Ramalingam (Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia) dan lagenda pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

image is not available
Lee Chong Wei menunjukkan teknik memukul bulu tangkis ketika hadir di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kg Pandan.

Mengulas lanjut, Hannah juga menyatakan bahawa bilangan pengiring bagi atlet paralimpik  adalah tertakluk kepada kuota penyertaan ditetapkan oleh penganjur bersama MSN, manakala PCM akan memastikan pegawai yang mempunyai pengetahuan dalam sukan tertentu diberi tanggungjawab.

Beliau menegaskan bahawa keputusan itu adalah selaras dengan Klausa 12.4 yang berkaitan dengan Tadbir Urus, Peranan dan Tanggungjawab Pegawai Sokongan Atlet di bawah Kod Klasifikasi Atlet Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC). 

image is not available
Hannah Yeoh berkata bilangan pengiring bagi atlet paralimpik adalah tertakluk kepada kuota penyertaan ditetapkan oleh penganjur bersama MSN.

Klausa tersebut menjelaskan bahawa pegawai sokongan atlet boleh dilantik daripada kalangan jurulatih, kakitangan perubatan, ibu bapa, atau mana-mana individu yang boleh membantu atlet dalam kerjaya mereka sebagai ahli sukan.

 Pegawai juga mesti berpengalaman, dan mesti mematuhi semua garis panduan dan peraturan yang digariskan dalam Kod Klasifikasi IPC. - The Vibes, 18 Februari 2023.