
KUALA LUMPUR: Pegawai dan anggota tentera harus memberi fokus dan penekanan kepada latihan bersama bagi mempersiapkan diri untuk menjalankan operasi, latihan dan doktrin dalam menghadapi sebarang ancaman, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Beliau berkata Markas Angkatan Bersama diberi tanggungjawab untuk mengkaji, merencana dan memperkasa semula semua operasi ATM berpandukan konsep pengoperasian dan mampan (operate and sustain) agar ia menjiwai sifat kebersamaan.
“Aspek latihan dan kemahiran tempur anggota akan dipertingkatkan melalui latihan berterusan yang giat dan efektif, pengurusan latihan yang sistematik dan komitmen yang tinggi dari semua lapisan anggota ATM.
“Langkah transformasi ini menepati pendekatan konsep sinergi 3M iaitu man, machine and method,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perbarisan Perutusan Perintah Ulung Panglima ATM ke-22 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.
Mohammad berkata ATM mestilah dapat memenuhi harapan rakyat dan negara iaitu menjadi sebuah entiti yang digeruni oleh musuh, dihormati oleh kawan dan rakyat, sentiasa bersedia, memiliki disiplin yang tinggi serta berupaya mempertahankan kedaulatan negara.
Beliau berkata kajian mesti dilakukan bagi melihat sama ada konsep, bentuk dan silibus latihan yang sedia ada boleh membentuk angkatan masa hadapan sesuai dengan teknologi itu bagi menyemak, mengkaji dan mengemas kini doktrin serta peraturan agar tidak ketinggalan zaman.
“Dalam hal ini, doktrin-doktrin latihan yang terkini berdasarkan persenjataan sedia ada dan geografi negara perlu digubal serta dikeluarkan oleh setiap jalur perkhidmatan,” katanya.
Sementara itu diminta mengulas mengenai perolehan aset ATM dalam Belanjawan 2024, Mohammad berkata pelaksanaan beberapa perolehan aset baharu seperti yang diumum pada belanjawan baru-baru ini akan melalui proses tertentu berdasarkan peraturan yang ditetapkan Kementerian Kewangan.
“Kita tahu semua perolehan ini perlu melalui proses-proses tertentu antaranya uji nilai dan lakukan tender. Setiap proses memerlukan tempoh yang berbeza-beza dan perlu dilakukan berdasarkan peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Pada 13 Okt lepas, Kementerian Pertahanan memaklumkan akan memberi penekanan terhadap pelaksanaan beberapa perolehan aset baharu dengan memfokuskan pemerkasaan kedaulatan tanah air menerusi peruntukan RM19.7 bilion yang diterima kementerian itu dalam Belanjawan 2024.
Turut hadir pada majlis perbarisan itu adalah Panglima Tentera Darat (TDM) Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.
Perbarisan disertai 40 pegawai dan 1,159 anggota Lain-lain Pangkat daripada enam Detasmen TDM, tiga Detasmen TLDM dan tiga Detasmen TUDM yang diketuai Pegawai Memerintah Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja Lt Kol Mohd Azroi Ariffin Shah. - Bernama
