Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga untuk menjalankan tanggungjawab sebagai tentera pengaman ke Palestin selepas menerima mandat, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Lapor Sinar Harian, ini termasuklah persedian pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALBATT) negara yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
“Biarpun sehingga kini tiada sebarang keputusan mengenai perkara itu daripada PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu), kita tetap bersedia. Malah, kementerian ikuti rapat perkembangan di Palestin serta bekerjasama dengan Kementerian Luar.
“Jadi, kalau kerajaan kata hantar tentera ke Palestin, kita akan ikut kerana sebarang keputusan itu bukan dalam bidang kuasa Kementerian Pertahahan. Sebaliknya tertakluk pada Kementerian Luar,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

“Ia memerlukan penelitian pelbagai pihak. termasuk Kementerian Luar, pandangan negara sekitar kawasan bergolak atau kawasan krisis dan paling utama mendapat mandat yang jelas daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
“Buat sahaja keputusan dan kami (ATM) akan ke sana (Palestin) jika ada keputusan, ada mandat membolehkan kita menghantar tentera pengaman kita dengan segera. Bahkan kita dah ada pun di Lubnan,”katanya.

Beliau akan membawa isu berkaitan Palestin pada sesi perbincangan dengan Menteri Pertahanan ASEAN pada minggu depan sebagai topik sampingan bagi mendengar suara negara-negara rantau itu berkaitan konflik berkenaan.
“Kita nak dapatkan suara ASEAN, kerana kita ada satu pegangan iaitu ASEAN Centrality, sekiranya semua negara ASEAN bersetuju untuk kita hantar tentera ke Palestin di bawah panji PBB,” katanya lagi.
Beliau berkata, sehingga kini Malaysia sentiasa komited memberi sokongan bagi mencapai keamanan sejagat menerusi panji PBB dan ia terbukti melalui penglibatan dalam 37 misi, sama ada sebagai tentera pemerhati atau pengaman.
Mengulas cadangan menghantar tentera pengaman ke Palestin melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Mohammad berkata perkara itu diserahkan untuk pertimbangan Wisma Putra memandangkan ia melibatkan negara lain.
Antaranya di Congo, Somalia, Namibia, Kemboja, Bosnia Herzegovina, Timor Leste dan yang terkini di Lubnan, malah kini ATM masih terlibat dalam lima misi antarabangsa di bawah PBB
Sumber: Sinar Harian, Kosmo! Online (Zulkifli Manzor)
The post ATM Siap Siaga, Gerak Ke Palestin Sebagai Tentera Pengaman Selepas Peroleh Mandat appeared first on Borak Daily.


