
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Mahkamah Sesyen Muar hari ini (19 Jun) menjatuhi hukuman penjara 33 tahun serta 14 sebatan terhadap seorang lelaki warga emas atas kesalahan merogol serta amang seksual ke atas dua orang cucu perempuannya.
Dua orang cucu perempuan berkenaan berusia 12 dan juga sembilan tahun.
Warga emas mengaku bersalah atas lima pertuduhan
Keputusan itu dilakukan Hakim Mohd Khairi Haron sebaik berpuas hati dengan pengakuan bersalah warga emas berusia 67 tahun itu terhadap lima pertuduhan.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama serta ke empat, warga emas tersebut telah didakwa melakukan amang seksual ke atas cucu berusia 12 tahun di sebuah kediaman yang terletak di Batu Pahat, Johor.
Memetik Berita Harian, kesalahan itu dilakukan pesara terbabit di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Sabit kesalahan individu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun bagi Seksyen 14 manakala Seksyen 16 pula sebagai tambahan hukuman iaitu penjara sehingga 5 tahun serta sebatan tak kurang dua kali.
Didakwa rogol cucu perempuan antara Januari sehingga Disember 2025
Untuk pertuduhan kedua serta ketiga, warga emas berkenaan telah didakwa merogol cucu perempuannya itu di kediaman sama antara Januari sehingga Disember 2025.
Kesalahan itu di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang mana tertuduh boleh dipenjara sehingga 30 tahun atau sebatan untuk setiap pertuduhan.
Warga emas juga didakwa lakukan amang seksual ke atas cucu perempuan berusia 9 tahun di rumah sama
Manakala bagi pertuduhan kelima pula, warga emas berkenaan didakwa melakukan amang seksual ke atas seorang lagi cucu perempuannya yang berusia sembilan tahun dan kesalahan itu juga dilakukan di rumah sama pada tahun lalu.
Tertuduh sewaktu prosiding tidak diwakili oleh mana-mana peguam dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen.
Diperintah jalani sesi kaunseling sepanjang ditahan
Selain hukuman yang dijatuhkan mahkamah turut memerintahkan lelaki warga emas berkenaan untuk menjalani sesi kaunseling sepanjang tahanan berlangsung. Selain itu, pengawasan polis juga dilakukan selama tiga tahun selepas selesai hukuman selari Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kes Rogol Cucu Usia 13 Tahun: Atuk Ditahan Reman Selama 6 Hari






