KLUANG – Seorang lelaki warga emas berusia 65 tahun ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ketika membeli nombor ekor di sebuah premis perjudian di sini pada Khamis.
Menurut JAINJ, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, penguat kuasa yang menjalankan rondaan di beberapa kedai judi nombor ekor memasuki sebuah premis dengan berpakaian biasa sebelum memerhati pelanggan di dalam kedai berkenaan.
"Ketika itu, seorang lelaki Melayu dilihat sedang berurusan di kaunter. Sebaik selesai, lelaki berkenaan bertindak keluar dengan tergesa-gesa sebelum seorang penguat kuasa menahannya.
"Bagaimanapun, lelaki itu cuba melarikan diri namun gagal apabila dua lagi anggota membantu menahan suspek," katanya dalam kenyataan.
Tambah JAINJ, pemeriksaan mendapati lelaki terbabit memegang satu slip nombor ekor bernilai RM8.
JAINJ memaklumkan, lelaki tersebut merupakan pesara swasta yang menetap di Kluang serta mempunyai anak dan cucu.
"Ketika disoal, dia membeli nombor tersebut kerana mendakwa menerima “nombor ada ong” daripada seorang lelaki bangsa lain," katanya lagi.
Ujarnya, walaupun pada awalnya tidak percaya, dia bimbang terlepas peluang sekiranya nombor itu keluar sebagai pemenang.
“Dia beli satu nombor sahaja dengan harga RM8 sebab angka lapan pun ada 'ong'. Tapi akhirnya kena tangkap, jadi tak ada 'ong',” katanya.
Kes itu akan didakwa di Mahkamah Syariah mengikut Seksyen 18 kerana berjudi, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
