Audio, video tular mangsa serangan beruang berlaku di Indonesia - Perhilitan

2 Sep 2024 • 4:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar dan video kejadian yang dikatakan berlaku di Kuala Betis tular di WhatsApp.

KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mengesahkan rakaman audio, video serta gambar mangsa dikatakan akibat serangan beruang bukan berlaku di Kuala Betis, Gua Musang sebaliknya, Indonesia.

Pengarah Perhilitan negeri, Mohamad Hafid Rohani berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya serta berkongsi berita yang tidak sahih.

"Sebelum ini pada Sabtu lalu, Perhilitan Perak telah menafikan kejadian tersebut berlaku di Sungai Siput," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum itu tular di WhatsApp audio, video serta gambar mangsa yang dikatakan mengalami kecederaan akibat serangan beruang di Kuala Betis yang merupakan perkampungan Orang Asli.

Media tempatan pada Sabtu melaporkan hasil semakan mendapati ia adalah gambar insiden serangan binatang buas yang berlaku di Pasaman Barat, Sumatera Barat, Indonesia membabitkan seorang petani wanita berusia 35 tahun yang parah akibat diserang beruang dan difahamkan berlaku pada 8 Ogos lalu.