Audit Dalaman Teras Tatakelola, Lindung Integriti Perkhidmatan Awam - PM

LocalPolitics
9 Sep 2025 • 2:24 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri menyampaikan ucapan ketika merasmikan Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025 hari ini - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Audit dalaman bukan sekadar proses rutin yang harus dilakukan setiap jabatan, sebaliknya ia memainkan peranan penting sebagai teras kepada tatakelola yang baik dan pelindung kepada integriti perkhidmatan awam.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, risiko ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah akan terus membelenggu sistem pentadbiran, tanpa pemantauan yang telus serta bebas.

Menurut beliau, sejarah seperti skandal 1MDB dan krisis kewangan Asia mengajar kerajaan akan kepentingan untuk memberi ruang dan sokongan kepada juruaudit dalaman, bagi membolehkan mereka  menjalankan tugas tanpa gangguan.

“Kerajaan sentiasa fokus memperkukuh institusi-institusi audit antaranya pindaan pertama Akta Audit dalam 33 tahun.

“Penubuhan Jawatankuasa Ketidakaturan Serius juga adalah bukti nyata bahawa kita serius menangani pelanggaran tatakelola secara tuntas,” katanya.

Anwar menyatakan demikian ketika menyempurnakan pelancaran Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025 di sini hari ini. 

Jelas Perdana Menteri, tatakelola yang baik bukan beban, sebaliknya asas kepercayaan rakyat dan pelaburan jangka panjang kepada kestabilan negara. 

“Audit dalaman ialah benteng utama dalam memastikan amanah ini ditunaikan dengan penuh integriti,” katanya. - Getaran, 9 September 2025