Australia rancang tambah pengambilan migran susulan krisis tenaga mahir

14 Aug 2022 • 5:18 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

CANBERRA: Kerajaan Australia merancang untuk meningkatkan jumlah pengambilan pekerja migran bagi menangani kekurangan tenaga buruh disebabkan pandemik Covid-19, kata Menteri Kemahiran dan Latihan, Brendan O’Connor.

Beliau berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menaikkan had migran tahunan daripada paras semasa iaitu 160,000 kepada lebih ramai migran berkemahiran tinggi, termasuk membabitkan pengamal kesihatan dan pakar IT, lapor Xinhua.

Menurut Biro Perangkaan Australia (ABS), terdapat 480,100 kekosongan jawatan pada Mei, peningkatan lebih 100 peratus berbanding Februari 2020 sebelum Australia menutup sempadan antarabangsanya.

Had pengambilan migran akan dibincangkan dengan kesatuan sekerja dan kumpulan majikan di sidang kemuncak pekerjaan dan kemahiran yang akan diadakan pada September.

“Kami mempunyai tugas berat untuk menangani krisis tenaga mahir tetapi Kerajaan perlu berusaha keras untuk melatih tenaga kerja tempatan dan mengurangkan pekerja asing,“ kata O’Connor.

Beliau juga menegaskan sistem piawaian tidak akan digugurkan sebaliknya perlu menggunakan pendekatan lebih canggih untuk mengukur tahap kemahiran.

“Kita menyaksikan kekurangan dalam pelbagai sektor: perdagangan tradisional, pembuatan maju, runcit, pelancongan, industri teknologi, penjagaan warga emas, doktor, jururawat,” katanya kepada akhbar Nine Entertainment pada Ahad.

O’Connor berkata ia bukan “binary choice” (dua pilihan) antara meningkatkan migran mahir dan melatih pekerja tempatan.

Menambah jumlah pekerja migran dijangka dimuktamadkan dalam belanjawan persekutuan, yang akan dibentangkan Bendahari Jim Chalmers pada Oktober.-Bernama