
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor memuji keputusan Kabinet Persekutuan memberikan autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak untuk projek pembangunan di bawah RM50 juta.
“Ia adalah satu lagi berita baik yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selain penyerahan kuasa pengawalseliaan sumber gas kita.
“Ia sudah pasti akan membantu dalam kelulusan dan pelaksanaan projek pembangunan yang sentiasa terhalang oleh kerenah birokrasi yang menyusahkan sebelum ini,” kata Ketua Menteri.
Mengikut semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ini sememangnya berita baik, tambahnya.
Hajiji mendedahkan bahawa beliau dan rakan sejawatannya di Sarawak akan bertemu dengan Perdana Menteri untuk memuktamadkan beberapa perkara di bawah MA63, antaranya isu geran khas.
Beliau juga berkata jawatankuasa kerja dan kajian semula MA63 akan diteruskan di bawah pengerusi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Berita baik lain dijangka, katanya ialah peruntukan tambahan untuk projek lebuh raya Pan Borneo untuk Sabah untuk mempercepatkan penyiapannya.
Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama tahun ini, Anwar mengumumkan bahawa autonomi penuh akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk projek di bawah RM50 juta dengan pematuhan sewajarnya kepada peraturan monetari yang ditetapkan.
Sementara itu, Kementerian Kerja Raya Sabah turut mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa melulus projek pembangunan bernilai hingga RM50 juta kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.
Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan perkembangan terbaharu itu sebagai langkah positif yang dapat mempercepatkan program pembangunan Sabah.
Katanya, perkara itu memang sudah lama dinantikan bagi memastikan kerajaan Sabah dapat memutuskan sendiri projek pembangunan tidak melebihi RM50 juta yang perlu dilaksanakan demi kepentingan rakyat negeri ini.
“Saya amat mengalu-alukan kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi kuasa kepada kerajaan negeri Sabah menentukan program pembangunan bagi projek bernilai sehingga RM50 juta.
“Ini bermakna kerajaan persekutuan menyerahkan mandat penuh kepada kerajaan negeri untuk menentukan projek pembangunan yang akan dilaksanakannya sendiri.
“Kita sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan atas keputusan yang dibuat berhubung perkara ini. Ia menunjukkan Perdana Menteri memahami kehendak rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Rabu.
Beliau mengulas keputusan mesyuarat jemaah Kabinet persekutuan dipengerusikan Anwar pada Rabu yang antara lain meluluskan perkara berkenaan.
Sementara itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, turut berharap agar kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan peruntukan untuk Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi memastikan pelaksanaannya dipercepatkan.
“Sehubungan dengan ini saya yakin YAB Perdana Menteri akan sentiasa melihat Wilayah Sabah sebagai sebuah wilayah yang penting untuk dibangunkan secara menyeluruh,” katanya.
Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut mengalu-alukan pengumuman itu.
Antara perkara berkenaan, katanya ialah jaminan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan akan ditambah dan semua keputusan berhubung projek bernilai RM50 juta ke bawah di Sabah dan Sarawak diputuskan oleh negeri masing-masing.
“Ini berita baik dan menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan sekarang untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63.
“Parti Warisan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan beliau terhadap impian dan aspirasi rakyat Sabah yang telah lama mahu melihat Perjanjian Malaysia 1963 dilaksanakan,” kata bekas Ketua Menteri itu dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


