Avaland bawa masuk Mydin, Maplewood dan San Francisco Coffee ke projek Meria RM370 juta di Cybersouth

LocalBusiness & Finance
12 Nov 2026 • 12:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Avaland bawa masuk Mydin, Maplewood dan San Francisco Coffee ke projek Meria RM370 juta di Cybersouth Image from: Avaland bawa masuk Mydin, Maplewood dan San Francisco Coffee ke projek Meria RM370 juta di Cybersouth sarah12/11/2026 - 12:54 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR12 Nov - Avaland Berhad membawa masuk Mydin Mohamed Holdings Berhad, Maplewood International School dan San Francisco Coffee sebagai rakan komersial baharu bagi hab komersial Meria bernilai RM370 juta di Cybersouth, Selangor.

 

Menurut kenyataan Avaland bertarikh 11 November 2026, Mydin akan menjadi penyewa peruncitan utama pembangunan itu, sekali gus menandakan pembukaan cawangan milik sendiri pertama rangkaian pasar raya tempatan berkenaan di selatan Lembah Klang.

 

Ketiga-tiga jenama tersebut akan melengkapkan barisan penyewa sedia ada dan yang bakal beroperasi di Meria, termasuk FamilyMart, Meokja Café dan Watsons, bagi menyediakan lebih banyak kemudahan peruncitan, makanan dan minuman serta pendidikan kepada penduduk setempat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Avaland, Apollo Bello Tanco berkata, penyertaan rakan komersial baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat memperkukuh ekosistem perniagaan di Cybersouth.

 

"Kami berbesar hati mengalu-alukan rakan niaga baharu ini ke Meria ketika kami terus memperkukuh ekosistem komersial Cybersouth. Penyertaan mereka memperluas pilihan peruncitan, makanan dan minuman, kesihatan dan kecantikan serta pendidikan di kawasan perbandaran ini," katanya dalam kenyataan itu.

 

Fasa pertama Meria catat kadar pengambilan 100%

Meria merupakan pembangunan komersial seluas 20 ekar dalam kawasan perbandaran Cybersouth seluas 417 ekar, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM370 juta.

 

Pembangunan itu merangkumi 190 unit kedai dengan dua bahagian hadapan dan hak milik individu, ditawarkan pada harga bermula RM1.6 juta seunit serta menyasarkan lebih 650,000 isi rumah dalam lingkungan 10 kilometer.

 

Avaland berkata, Fasa 1 Meria telah mencapai kadar pengambilan 100%, manakala Fasa 2 menghampiri 60%, mencerminkan sambutan terhadap pembangunan komersial tersebut.

 

Hab komersial itu turut dilengkapi The Island @ Cybersouth, kawasan rekreasi seluas 40 ekar yang menampilkan tasik seluas 37 ekar sebagai antara tarikan utama.

 

Avaland rancang pembangunan baharu RM1 bilion

Bagi segmen kediaman, Avaland sedang membangunkan Avalon, fasa terakhir pembangunan rumah bertanah di Cybersouth yang merangkumi 343 unit rumah dua tingkat di kawasan seluas 25 ekar, dengan keluasan binaan antara 2,004 hingga 2,454 kaki persegi dan harga bermula RM800,000.

 

Menurut syarikat itu, Fasa 1 Avalon habis dijual ketika pelancaran, manakala Fasa 2 menerima sambutan kukuh sejak diperkenalkan pada suku pertama 2026. Avaland turut merancang melancarkan satu lagi projek dalam pelan induk Cybersouth pada 2027.

 

Pada peringkat kumpulan, Avaland sedang bersedia melancarkan beberapa pembangunan baharu dengan gabungan GDV RM1 bilion dalam beberapa bulan akan datang, disokong bank tanah seluas 189 ekar dengan anggaran GDV RM12.2 bilion.- DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved