Awak berdua, tunggu ‘surat cinta’ sampai – Suami ibu menyusu

LocalFamily & Parenting
9 Aug 2026 • 3:16 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Awak berdua, tunggu ‘surat cinta’ sampai – Suami ibu menyusu

PETALING JAYA – “Awak berdua, tunggu ‘surat cinta’ sampai. Siap-siap untuk bayar saman.”

Demikian amaran seorang lelaki yang menggunakan nama akaun Amir Nafif selepas mendakwa sudah membuat laporan polis berhubung tindakan dua individu yang dipercayai menyebarkan gambar isterinya ketika menyusukan bayi di sebuah tren Transit Aliran Ringan (LRT) baru-baru ini.

Amir menerusi perkongsian di Threads memaklumkan dia sedang mengambil tindakan lanjut selepas isterinya didakwa mengalami demam dan menggigil susulan gambar tersebut tersebar di media sosial.

“Awak berdua masih tak delete (padam) ya? Bini (isteri) saya sampai demam ketar disebabkan perbuatan awak berdua yang sebarkan gambar dia.

“Baiklah, saya buat report (laporan polis), kita proceed (teruskan) saman dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia),” katanya.

Dalam hantaran sama, Amir memaklumkan laporan polis sudah dibuat, namun enggan mendedahkan butiran lanjut kerana perkara tersebut kini dalam siasatan.

Menurutnya, tindakan seterusnya akan dibuat dengan pihak MCMC selepas pejabat agensi berkenaan dibuka esok.

“Done (selesai), maaf tak boleh tunjuk details sebab dalam siasatan. Kepada kamu berdua, siap-siap untuk bayar saman,” katanya.

Sebelum ini, Amir memberikan tempoh 24 jam kepada individu yang didakwa menyebarkan gambar isterinya untuk memadam hantaran berkenaan sebelum tindakan undang-undang diambil.

Isu itu tercetus selepas gambar isterinya sedang menyusukan bayi di dalam pengangkutan awam dirakam dan dimuat naik tanpa kebenaran, sebelum menjadi tular di media sosial.

Tindakan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial dengan sebahagian besar tampil mempertahankan ibu berkenaan dan menyifatkan penyusuan bayi di tempat awam sebagai perkara biasa.

Dalam pada itu, Amir sebelum ini memaklumkan akan membuat laporan polis sekiranya gambar berkenaan tidak dipadam dalam tempoh 24 jam. – KOSMO! ONLINE

The post Awak berdua, tunggu ‘surat cinta’ sampai – Suami ibu menyusu appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved