Awantec raih kontrak sedia perkhidmatan pengkomputeran awam bernilai RM4.96 juta daripada NAHRIM
diyana
06/03/2024 - 17:43
KUALA LUMPUR 6 Mac - Awanbiru Technology Bhd (Awantec) telah menerima kontrak bernilai RM4.96 juta untuk menyediakan perkhidmatan pengkomputeran awam bagi penyelidikan dan pembangunan perubahan iklim kepada Institut Penyelidikan Air Negara Malaysia (NAHRIM).
Penyedia perkhidmatan pengurusan awan itu berkata, anak syarikatnya, Awantec Systems Sdn Bhd (ASSB) memperoleh surat anugerah daripada NAHRIM dan proses perasmian perjanjian mereka sedang dijalankan.
“Di bawah anugerah ini, ASSB akan menyediakan rumusan dan perkhidmatan pengkomputeran awan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) perubahan iklim, memberi tumpuan kepada pelaksanaan rumusan pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) bagi menjalankan model penyelidikan dan ramalan cuaca (wrf) dalam persekitaran awan,” jelasnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
ASSB hendaklah menyediakan perkhidmatan termasuk, tetapi tidak terhad kepada Infrastruktur sebagai Perkhidmatan (IaaS), Platform sebagai Perkhidmatan (PaaS), dan rangkaian kepada NAHRIM.
Awantec berkata, kontrak tersebut adalah bagi tempoh 30 bulan, bermula dari 8 Mac 2024 sehingga 7 September 2026
Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka, surat anugerah dijangka memberi kesan positif ke atas pendapatan sesaham dan aset nyata bersih sesaham masa hadapan syarikat.
“Selepas pertimbangan yang teliti, Lembaga Pengarah Awantec berpendapat bahawa surat anugerah memberikan peluang positif untuk kumpulan. Projek ini sejajar dengan matlamat strategik kumpulan dan akan menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan,” tambahnya.
Saham Awantec ditutup kekal pada 48.5 sen hari ini, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM383.1 juta. - DagangNews.com

