Awas! Jangan Terpedaya Mesej Palsu Bantuan Warga Malaysia RM900

30 Dec 2022 • 9:09 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kementerian Komunikasi dan Digital memberi peringatan itu susulan mesej tular kononnya, Bantuan Warga Malaysia (BWM) sebanyak RM900 telah dikreditkan ke akaun penerimanya - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya atau menyebar maklumat tidak sahih di media sosial.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching memberi peringatan itu susulan mesej tular kononnya, Bantuan Warga Malaysia (BWM) sebanyak RM900 telah dikreditkan ke akaun penerimanya.

Mesej terbabit juga mengandungi pautan yang meragukan. 

“Mesej tular ini adalah palsu. Sentiasa berwaspada dan jangan mudah terpedaya atau menyebar maklumat yang tidak pasti,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Sebelum ini, kementerian itu menerusi kenyataan Pasukan Respons Pantas (PRP) juga mengesan satu mesej tular disyaki palsu berhubung BWM. 

Bantuan berkenaan didakwa akan dikreditkan menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet bermula pada Ahad.

Kenyataan itu menyebut mesej tular berkenaan dikenal pasti menggunakan modus operandi sama dengan mesej yang dikesan palsu sebelum ini. - Getaran, 30 Disember 2022