Awesome TV digugurkan daripada perarakan Hari Kebangsaan 2023

25 Aug 2023 • 7:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Awesome TV menganggap keputusan mengugurkan stesen itu daripada perarakan Hari Kebangsaan 2023 Khamis ini bertentangan dengan matlamat Kerajaan Madani.

KUALA LUMPUR – Stesen televisyen (TV) swasta, Awesome TV telah digugurkan daripada acara perarakan sempena Hari Kebangsaan 2023 tanpa sebarang alasan.

Pengurusan stesen televisyen itu, dalam satu kenyataan media, berkata perkara berkenaan jelas bertentang dengan matlamat kerajaan Madani yang dilihat berusaha mempromosi semangat perpaduan dan keharmonian  di kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, ia juga terang-terangan berlawanan dengan janji Kerajaan Madani untuk memperkasakan peranan media dalam pembangunan dan kesejahteraan negara.

“Pihak Awesome TV baharu sahaja dimaklumkan oleh pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengenai pengguguran kami daripada acara perarakan sempena Hari Kebangsaan 2023 tanpa sebarang alasan.

“Keputusan mengejutkan ini terkandung dalam surat bertarikh 23 Ogos 2023 (Rujukan KKD.100-11/2/1/ Jld.2 (/8)), yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Muhammad Fauzi Md Isa,” katanya.

Awesome TV berkata, surat berkenaan menyatakan pengguguran berkenaan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan 2023 bilangan 4/2023 yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sendiri pada 21 Ogos lalu.

Pada Februari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memanggil pihak pengurusan Awesome TV bagi mendapatkan penjelasan mengenai laporan berita yang mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.

Fahmi dilaporkan berkata beliau difahamkan Awesome TV melakukan enam pelanggaran berhubung menerbitkan bahan berita yang dilihat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang. – Getaran, 25 Ogos 2023.