Awie bukan ‘the last’ tapi ‘the best man standing’

EntertainmentMusic
18 Sep 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Awie bukan ‘the last’ tapi ‘the best man standing’

DALAM dunia persembahan langsung, kehebatan vokal sahaja tidak memadai. Stamina, disiplin, kawalan emosi, kebijaksanaan menyusun repertoir serta kemampuan mengikat penonton selama berjam-jam menjadi neraca sebenar seorang penghibur.

Justeru, apa dipersembahkan Datuk Awie menerusi konsert Awie Rock King: The Last Man Standing di Stadium Merdeka malam Sabtu lalu bukan semata-mata sebuah konsert rock, malah terasa seperti deklarasi seorang legenda bahawa selepas 41 tahun mengharungi dunia seni, api dalam dirinya masih menyala garang.

Lebih mengagumkan, 20,000 penonton hadir menyaksikan seorang bintang berusia 58 tahun itu berdiri sekitar empat jam di pentas tanpa memberi ruang kepada keletihan menguasai persembahan.

Jika tidak dimaklumkan sendiri, mungkin ramai penonton tidak menyedari Awie sebenarnya sedang berdepan bronkitis buat kali kedua.

Ternyata, masalah kesihatan yang dihadapi langsung tidak terzahir menerusi gerak tubuh atau vokalnya ketika menguasai pentas. Pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman sebaliknya tampil seolah-olah tidak pernah ada seekor pun ‘kuman’ bronkitis menggigit kudratnya.

Menerusi konsert tersebut, sebanyak 36 lagu dipersembahkan, dibahagikan kepada lima segmen utama iaitu Kita Bersama, Legasiku, Cinta dan Filem, Tribute: Last Man Standing (Don’t Forget) serta Aku Dan Mereka (Wings).

Struktur lima babak itu menjadikan persembahan tidak terasa seperti deretan lagu semata-mata, sebaliknya mempunyai naratif tersendiri tentang perjalanan seni, cinta, kehilangan, penghormatan dan akhirnya, kembali kepada keluarga muziknya, Wings.

Image from: Awie bukan ‘the last’ tapi ‘the best man standing’
UNTUK sebuah konsert dengan lebih 30 buah lagu, repertoir berbilang penyanyi jemputan, bertukar band pengiring, Awie membasuh segala gusar dengan sebuah persembahan yang cukup membuktikan dialah rock star legenda, selayaknya ‘The Last Man Standing’.– SYAKIR RADIN

‘Kegilaan’ bermula

Tepat pukul 9 malam, Awie membuka tirai menerusi segmen Kita Bersama dengan Sayap Ilusi versi akustik sebelum mengheret penonton ke dunia rock menerusi Rock N Roll Ronda-Randa, Mata Hati Jiwa dan Tiada Rahsia Antara Kita.

Persembahan diteruskan dengan Di Bayang Awan dan O-Tak, sebelum sebuah video pendek menjadi jambatan kepada kemunculan Puteri dan Merrah bersama Awie menerusi Baldu Biru serta Bernafas Dalam Lumpur.

Pilihan pembukaan cukup bijak kerana Awie tidak terus memuntahkan segala kudrat pada awal persembahan. Versi akustik Sayap Ilusi memberikan ruang untuk penonton menyerap suasana sebelum rentak diperhebat secara berperingkat.

Dari satu lagu ke satu lagu, suhu Stadium Merdeka meningkat, seolah-olah penonton turut dibawa menyusuri beberapa lapisan sejarah muzik rock tempatan.

Image from: Awie bukan ‘the last’ tapi ‘the best man standing’
PASANGAN suami isteri, Stacy dan Akim serta Black menyertai Awie dengan beberapa lagu, Peronda Jaket Biru, Ingatkan Aku dan Intan Kesepian.

Masuk segmen Legasiku, pentas kembali menyala menerusi Ukiran Jiwa. Kehadiran Stacy untuk Peronda Jaket Biru, selain Akim dan Black dalam Midnight Blues, memberikan warna berbeza kepada persembahan.

Gandingan Awie bersama Akim menerusi Ingatkan Dia, diikuti Black dalam Intanku Kesepian, memperlihatkan kemampuan penyanyi itu berkongsi ruang vokal tanpa menenggelamkan rakan sepentas.

Tragedi Oktober, Bara dan Di Ambang Wati kemudian mengembalikan fokus sepenuhnya kepada vokal serta aura Awie namun, pada segmen itulah bapa tujuh anak itu membuat pengakuan cukup mengejutkan.

Image from: Awie bukan ‘the last’ tapi ‘the best man standing’
SEGMEN bersama Erra membawa nada romantis ke pentas konsert Awie .

Katanya, keadaan jerebu teruk menyebabkan paru-parunya terjejas hingga diserang bronkitis buat kali kedua.

“Dalam keadaan bergelojak di atas pentas ini sebenarnya saya tidak sihat sebab jerebu teruk sehingga merosakkan paru-paru. Saya kena bronkitis kali kedua. Apa-apa pun, persembahan mesti diteruskan,” katanya.

Mampu menyampaikan puluhan lagu bernada tinggi tanpa menunjukkan tanda-tanda mahu mengalah, komitmen serta disiplin Awie wajar diberi penghormatan.

Image from: Awie bukan ‘the last’ tapi ‘the best man standing’
BERSAMA-sama menyanyikan lagu Baldu Biru, Merrah dan Puteri ternyata membuat hati seorang bapa bernama Awie berbunga bangga.

Segmen ketiga, Cinta Dan Filem, membawa suasana lebih santai menerusi Funky Monyet, sebelum pentas menemukan Awie dengan Erra Fazira dalam Cinta Makrifat.

Kehadiran Hannah Delisha menerusi Halaman Asmara dan Kita Permata pula memberikan dimensi berbeza. Jika dua segmen awal lebih sarat tenaga rock, bahagian ini memberi ruang kepada Awie memperlihatkan sisi romantik dan sentimental.

Lebih istimewa, Awie memperkenalkan karya baharu versi akustik berjudul Maharani, didedikasikan khas buat isterinya, Datin Sharifah Ladyana, sempena ulang tahun ke-10 perkahwinan mereka. Selepas itu, Ratuku dan Dipenjara Janji menutup segmen dengan nada lebih intim.

Image from: Awie bukan ‘the last’ tapi ‘the best man standing’
PERSEMBAHAN bersama Hattan menerusi lagu Gerhana sememangnya sebuah momen yang dinantikan peminat.

Tribute paling menyentuh

Jika dua segmen terdahulu membakar semangat penonton, segmen keempat, Tribute: Last Man Standing (Don’t Forget), pula menjadi bahagian paling sarat emosi.

Awie memberikan penghormatan kepada legenda seni Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi Jeritan Batinku, sebelum berduet bersama Hattan dalam Gerhana sebagai tribute kepada Datuk M. Nasir.

Kepadamu Kekasih pula menjadi ruang penghormatan kepada anak-anak seni telah pergi. Tidak berhenti di situ, Awie meneruskan perjalanan nostalgia menerusi Layang-Layang Terputus Talinya sebagai tribute kepada Alleycats, diikuti Ku Di Halaman Rindu untuk Lefthanded.

Kemunculan Amir Masdi menggegarkan lagu Gemuruh mengangkat semula tenaga pentas sebelum Mentari Merah Di Ufuk Timur menjadi lagu penuh makna menerusi tribute kepada Palestin.

Paling mengesankan, doa buat Palestin turut diselitkan dalam segmen tersebut. Awie tidak mampu menyembunyikan sebak ketika membacakan doa, sekali gus mengubah suasana Stadium Merdeka daripada sekadar ruang hiburan kepada medan renungan tentang kemanusiaan.

Image from: Awie bukan ‘the last’ tapi ‘the best man standing’
KEMUNCULAN Amir Masdi memakai baju-T memaparkan wajah Awie Rock King cukup membakar semangat dengan lagu Gemuruh.

Kembali kepada Wings

Selepas membawa penonton menyelusuri sejarah muzik, cinta dan kehilangan, segmen kelima menjadi kemuncak paling dinanti apabila Awie kembali bersama kumpulan Wings.

Opera Hidup, Hukum Karma, Harapan dan Sejati menggamatkan Stadium Merdeka sebelum Terima Kasih dipilih sebagai penutup. Keseluruhan persembahan digerakkan barisan pemuzik profesional berbeza mengikut segmen, termasuk Man Kidal, Eddie XPDC, Muzza, Pacai Ekamatra, Addy Cradle, Yan Lefthanded, Shah Slam, Naimi Daini (dram), Fly Halizor dan Ritz Metalasia.

Mereka diketuai pemain gitar Aznan Alias selaku pengarah persembahan. Kepelbagaian pemuzik itu memberikan warna tersendiri kepada setiap segmen, selain memastikan susunan muzik kekal bertenaga tanpa menenggelamkan vokal.

Akhirnya, Terima Kasih menjadi ucapan peribadi Awie kepada peminat, sesuai dengan judul lagu serta konteks perjalanan 41 tahun dalam industri seni.

“Terima kasih kerana sudi menunggu sehingga jam 1 pagi. Sepatutnya tamat jam 12 tengah malam, tetapi kita sampai jam 1 pagi. Terima kasih juga kerana setia bersama saya selama 41 tahun dalam industri. Panjang umur, kita berjumpa lagi. Terima kasih,” tutupnya.

Image from: Awie bukan ‘the last’ tapi ‘the best man standing’
MENGAKUI berat ujian kesihatan yang harus diheret sepanjang beraksi, secara luarannya, Awie langsung tidak mengecewakan 20,000 peminat yang memenuhi Stadium Merdeka hujung minggu lalu.

The post Awie bukan ‘the last’ tapi ‘the best man standing’ appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved