
PETALING JAYA – “Ayah-ayah pun tak kurang hebatnya, mengorbankan kolar baju,” demikian perkongsian seorang pengguna Threads, @Idahidayahmy, yang menarik perhatian netizen apabila seorang bapa sanggup menjadikan kolar bajunya sebagai tempat menyangkut baju sekolah anak ketika menunggang motosikal.
Situasi itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang tersentuh melihat pengorbanan kecil seorang bapa dalam menguruskan keperluan anaknya.
Rata-rata pengguna media sosial mendoakan agar bapa berkenaan dikurniakan ganjaran terbaik dalam menjalankan tanggungjawabnya membesarkan anak.
“Moga dikurniakan syurga tertinggi untuk ayah yang baik dan bertanggungjawab dekat dunia ini,” katanya.
“Saya ketawa dalam tangisan tau. Adik, moga adik jadi orang berjaya suatu hari nanti. Pada ayahnya, moga selamat pergi balik kerja, moga rezeki tak pernah putus. Sihat selalu kamu dan seluruh keluarga,” komen @Sitifauziahaziz.
Sementara itu, seorang lagi pengguna menyifatkan pengorbanan ibu bapa demi masa depan anak-anak sebagai sesuatu yang wajar dihargai.
“Sedih, demi anak, demi ilmu, demi membesarkan anak, demi masa depan anak. Berbahagia dan diberi kekuatan untuk para bapa. Hargai ayah, sanjungi ibu kerana anak-anak adalah segalanya bagi mereka!” tulisnya.
“Pengorbanan si ayah yang jarang didendangkan,” komen @Nazmie_malek pula.
Perkongsian itu mengingatkan orang ramai bahawa kasih sayang seorang bapa bukan sahaja ditunjukkan melalui kata-kata, malah menerusi pengorbanan kecil yang dilakukan demi memastikan keperluan anak-anak terjaga. – KOSMO! ONLINE
The post Ayah sanggup ‘korbankan’ kolar baju demi anak appeared first on Kosmo Online.


