
SHAH ALAM, 29 OKT: Ayam dan beras antara barangan asas paling laris terjual di Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang diadakan dekat Surau Al-Amin Seksyen 18 di sini.
Penyelarasnya Muhammad Syahmi Asymawi Solahudin berkata pihaknya menggunakan sistem nombor bagi memastikan setiap individu yang hadir boleh membuat kerja lain terlebih dahulu sebelum tiba giliran mereka.

“Rata-rata pengunjung mula menunggu seawal jam 7 pagi, memandangkan di sini surau ada antara mereka tidak pulang ke rumah seusai solat Subuh sebaliknya terus menunggu JER dibuka.
“Setakat ini kita sudah edarkan 250 nombor. Insya-Allah, kita akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan pengunjung dan memastikan semua yang hadir boleh membeli,” katanya ketika ditemui.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).
Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 3,000 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.
Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.
The post Ayam, beras antara barangan terlaris di jualan murah DUN Batu Tiga appeared first on Selangorkini.
