Ayam RM10, beras RM12 tarikan Jualan Mega Aidiladha PKPS

LocalSales & Promo
19 May 2026 • 3:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ayam RM10, beras RM12 tarikan Jualan Mega Aidiladha PKPS
Jualan Mega Aidiladha 2026 akan diadakan di lapan lokasi terpilih sekitar Selangor bermula jam 9 pagi hingga 2 petang. Gambar kecil: Mohamad Khairil.
Image from: Ayam RM10, beras RM12 tarikan Jualan Mega Aidiladha PKPS
Jualan Mega Aidiladha 2026 merupakan usaha berterusan PKPS dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat menerusi penawaran pelbagai barangan asas pada harga promosi.

SHAH ALAM – Ayam seekor pada harga RM10 dan beras lima kilogram (kg) RM12 menjadi antara tarikan utama Program Jualan Rahmah Madani – Jualan Mega Aidiladha 2026 anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.

Program yang berlangsung selama dua hari pada 23 dan 24 Mei itu dianjurkan bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian serta persiapan Aidiladha pada harga lebih rendah dan berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, inisiatif berkenaan merupakan usaha berterusan PKPS dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat menerusi penawaran pelbagai barangan asas pada harga promosi.

Menurut beliau, program itu akan diadakan di lapan lokasi terpilih sekitar Selangor bermula jam 9 pagi hingga 2 petang.

“Pada 23 Mei, jualan akan berlangsung di Dataran Bougainvilla, Kampung Sungai Kertas; Pekarangan Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam; Dataran Pantai Batu Laut dan Pejabat Parlimen Sabak Bernam, Bagan Nakhoda Omar.

“Manakala pada 24 Mei, lokasi terlibat ialah Balai Penghulu Telok Panglima Garang; Perkarangan Flat Taman Kem, Pelabuhan Klang; Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang dan Tapak Parkir Econsave Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

**media[3525800]**

Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai barangan asas termasuk ikan 900 gram pada harga RM6.50, daging 900 gram (RM10), telur gred B sepapan (RM7), minyak masak 2kg (RM10) dan lampin bayi pakai buang (RM7).

Turut ditawarkan ialah tepung RM2, bihun RM2.50, sardin RM5.50, biskut RM3 dan sabun pencuci pakaian RM14 dengan penjimatan sehingga RM11 bagi sesetengah barangan.

Tambah beliau, pengunjung diminta membawa kad pengenalan untuk tujuan pendaftaran dan pengesahan, manakala barangan promosi adalah tertakluk kepada stok semasa di setiap lokasi.

Selain jualan di lokasi terpilih, PKPS turut melaksanakan inisiatif Promo Raya Haji Ehsan Mart bermula 15 hingga 31 Mei ini di tiga cawangan Ehsan Mart iaitu di Sungai Tua, Selayang; Pandan Utama dan Taman Melawati.

“Antara produk yang ditawarkan termasuk kerang sejuk beku, cili giling, kerisik, rempah dan ayam goreng.

“PKPS berharap inisiatif ini dapat membantu rakyat membuat persiapan Aidiladha dengan lebih mudah dan menjimatkan kos perbelanjaan,” katanya.