
Bukan kucing sahaja yang mampu mencuri perhatian dengan bulunya yang gebu dan wajah comel.
Ayam silkie juga mempunyai daya tarikan tersendiri apabila penampilannya yang unik membuatkan ramai menyangka ia lebih menyerupai anak kucing berbanding seekor ayam.
Pemiliknya, Norzarina Zakaria, 43, berkata, kehadiran ayam silkie bukan sekadar haiwan peliharaan, malah menjadi peneman yang menceriakan kehidupan hariannya.
Segalanya bermula apabila dia menerima sepasang ayam silkie sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan ke-12 pada 25 Januari lalu.
Daripada hanya dua ekor, kini jumlahnya bertambah kepada lapan ekor yang dijaga penuh kasih sayang.
Menurutnya, apa yang membuatkan ayam silkie begitu istimewa bukan sahaja kerana rupanya yang comel, tetapi juga sifat manja dan jinak sehingga berbeza daripada baka ayam biasa.
“Saya suka sebab rupanya mirip kucing, tetapi bila memelihara ayam silkie, dapat telur sebagai bonus,” katanya kepada Seri.
Dia mula mengenali ayam silkie selepas menonton video di akaun Instagram binoothechicken sebelum terus jatuh hati dengan baka tersebut.

Bulu seperti kapas
Ayam silkie sememangnya terkenal dengan penampilan unik sehingga sering digelar sebagai ayam berbulu kapas.
Katanya, bulu yang lembut menjadi daya tarikan utama, selain memiliki cuping telinga berwarna biru, lima jari kaki serta kulit dan tulang berwarna hitam.
Lebih menarik, ayam itu juga mempunyai sifat yang sangat jinak dan mudah mesra dengan manusia.
“Pada saya, ayam silkie memang sangat manja, hampir sama seperti kucing. Mereka tidak garang dan suka mematuk.
“Sebab itu baka ini sangat sesuai dijadikan haiwan peliharaan, termasuk untuk keluarga yang mempunyai anak kecil,” katanya.
Reban perlu sentiasa kering
Walaupun kelihatan mudah dipelihara, ayam silkie sebenarnya memerlukan penjagaan lebih teliti, terutama dari segi kebersihan dan keadaan tempat tinggalnya.
Setiap hari, dia akan memastikan rutin asas seperti menyediakan dedak, menukar air minuman yang bersih serta memeriksa keadaan reban dengan baik.
Lapik habuk kayu pine di dalam reban juga perlu sentiasa berada dalam keadaan kering bagi memastikan keselesaan ayam.
Menurutnya, bulu ayam silkie yang lembut dan gebu tidak mempunyai ciri kalis air, menyebabkan ia mudah menyerap air.
Keadaan itu boleh menyebabkan ayam berisiko mengalami masalah kesihatan sekiranya terdedah kepada keadaan basah terlalu lama.
Pengalaman tersebut pernah dilalui Norzarina ketika seekor ayam silkie miliknya jatuh sakit selepas reban dimasuki air akibat hujan lebat.
“Saya mengeringkan bulunya menggunakan pengering rambut, membawanya masuk ke dalam rumah dan meletakkannya dalam sangkar lebih kecil.
“Saya juga beri air yang dicampurkan dengan sedikit madu serta menyuapkan makanan dan air selama beberapa hari sehingga ayam itu kembali sihat,” jelasnya.
Sejak kejadian itu, dia lebih peka terhadap keadaan reban selain memastikan stok ubat untuk ayam sentiasa tersedia sebagai langkah berjaga-jaga.
Selain penjagaan reban, aspek kebersihan ayam silkie juga perlu diberi perhatian.
Namun, berbeza dengan haiwan peliharaan lain, ayam silkie tidak boleh dimandikan terlalu kerap kerana ia boleh menghilangkan minyak semula jadi pada bulunya.
Minyak semula jadi tersebut penting kerana membantu ayam silkie mengekalkan suhu badan, terutama dengan struktur bulunya yang unik dan tidak sama seperti ayam biasa.
“Ayam silkie tidak boleh selalu dimandikan dan rutin itu hanya dibuat apabila ia betul-betul kotor seperti terkena tahi, air hujan atau bulunya terlalu kotor,” katanya.

Dianggap seperti keluarga
Bagi Norzarina, setiap ayam silkie yang dipeliharanya mempunyai tempat yang istimewa di hati.
Justeru, kehilangan atau kematian ayam merupakan detik yang paling sukar untuk diterima walaupun pelbagai usaha telah dilakukan bagi menyelamatkannya.
“Haiwan itu sudah dianggap seperti keluarga dan bila sakit atau mati, saya pasti menangis,” katanya.
Setiap ayam mempunyai nama dan karakter tersendiri, sekaligus menjadikan ikatan antara mereka lebih istimewa.
Tambahnya, keluarga, jiran dan rakan-rakan turut gembira melihat kehadiran ayam-ayam silkie yang bukan sahaja comel, malah mempunyai sifat lembut dan mudah didekati.
The post Ayam silkie, si gebu yang mencuit hati appeared first on Utusan Malaysia.

