Azam enggan ulas dakwaan anak Dr Mahathir jadi sasaran SPRM

Politics
26 Mar 2024 • 5:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Azam Gambar Fail

CYBERJAYA - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki enggan mengulas dakwaan dua anak Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya mereka diarah membantu siasatan terhadap bekas perdana menteri itu.

Sebaliknya, Azam berkata, beliau perlu melihat fakta terlebih dahulu berhubung dakwaan terbabit sebelum memberi sebarang komen.

"Biar saya mendapatkan gambaran yang jelas sebelum memberikan sebarang komen. Saya tidak tahu tentang kenyataan ini,” katanya secara ringkas ketika ditemui media pada majlis pelancaran Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) dikelola BlackBerry di sini pada Selasa.

Beliau diminta mengulas dakwaan Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir bahawa mereka diarah oleh SPRM untuk membantu siasatan terhadap Dr Mahathir.

Mokhzani dalam temu bual dengan media antarabangsa Sabtu lalu mendakwa bapanya menjadi suspek utama dalam siasatan yang dijalankan SPRM.

Sebelum ini dilaporkan Mirzan dan Mokhzani dipanggil SPRM untuk disoal siasat pada Januari lepas, walaupun asas sebenar siasatan itu tidak jelas.

SPRM juga mengarahkan Mokhzani dan abangnya Mirzan mengisytiharkan aset mereka sejak 1981 iaitu tahun pertama Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Pada 6 Februari lepas, Azam dilaporkan berkata, SPRM belum menerima sebarang maklum balas dan mengatakan Mirzan dan Mokhzani boleh didakwa jika gagal mengisytiharkan harta mereka kepada agensi itu.

Susulan itu, kedua-dua beradik itu dalam kenyataan akhbar pada 8 Februari lepas meminta SPRM 'bersabar' memandangkan usaha mengumpulkan maklumat selama 43 tahun mengambil masa. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28