
Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman berkata Kerajaan Persekutuan nampaknya mahu menghalalkan warga asing yang masuk dan bekerja di Sabah secara haram.
“Jika di Semenanjung Malaysia, kerajaan boleh menghantar pulang pendatang tanpa izin secara sukarela melalui Program Rekalibrasi Pulang, mengapa di Sabah Kerajaan Persekutuan melakukan sebaliknya?
“Kerajaan nampaknya mahu menghalalkan warga asing yang masuk dan bekerja secara haram di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, Isnin.
Azis berkata beliau bersetuju menggunakan satu dokumen untuk menyelesaikan masalah ketidakselarasan tiga dokumen warga asing di Sabah yang dikeluarkan oleh tiga agensi berbeza iaitu Kad Burung-Burung oleh Jabatan Ketua Menteri, Banci Sijil oleh Majljis Keselamatan Negara dan IMM13 melalui Jabatan Imigresen.
Mohd Azis yang juga Ketua Warisan Wira mempersoalkan rasional pengeluaran Kad Warga Asing di Sabah kerana ini akan menggalakkan lebih ramai PATI memasuki negeri ini secara haram melalui laluan tikus kerana apabila PATI sudah berada di Sabah, mereka hanya perlu memutihkan diri dengan memohon Kad Warga Asing?
“Ini berbeza dengan Pas Sementara Sabah (PSS) sebelum ini yang mempunyai matlamat sama dengan Kad Warga Asing. Bagaimanapun, jumlah individu yang patut diberikan PSS ialah 136,055 pemegang berdaftar dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah, seperti yang dijelaskan kerajaan sebelum ini.
“Sementara itu, mereka yang didapati masuk ke Sabah secara haram dan menggunakan dokumen palsu akan ditangkap dan dihantar pulang.
“Persoalannya sekarang, mereka yang sebelum ini membantah PSS atas alasan akan menggalakkan lebih ramai PATI memasuki Sabah secara haram kini boleh menerima Kad Warga Asing yang jelas lebih longgar berbanding PSS sebelum ini.
“Untuk rekod, 136,055 pemegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci adalah jumlah yang dikenal pasti oleh ketiga-tiga agensi itu sebagai pemegang dokumen tulen yang telah dikeluarkan sejak kerajaan Barisan Nasional.
“Matlamat PSS adalah untuk memansuhkan ketiga-tiga dokumen dan menggantikannya dengan satu kad bagi membolehkan agensi penguatkuasa seperti Jabatan Imigresen menguatkuasa dan memburu PATI.
“Sekarang matlamatnya jauh terpesong kerana Kad Warga Asing bukan sahaja untuk membuat data warga asing di Sabah, tetapi juga untuk memutihkan pendatang tanpa izin yang masuk ke negeri ini secara haram.
“Justeru, adalah penting bagi kerajaan menyatakan sasaran sebenar warga asing di Sabah bagi pengeluaran Kad Warga Asing supaya rakyat yang sebelum ini tidak bersetuju dengan PSS dan kini menyokong Kad Warga Asing mendapat pemahaman yang jelas tentang apa yang mereka setuju.
“Pemutihan pendatang tanpa izin dan tindakan pendatang tanpa izin memutihkan diri dengan memohon Kad Warga Asing, jelas memberi implikasi keselamatan terutama di negeri Sabah yang isu pendatang tanpa izin berlarutan sejak berpuluh tahun lalu,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

