
Sekali pandang, karya yang dipamerkan kelihatan seperti imej fotografi biasa.
Namun, apabila diteliti, setiap lapisan visual yang terhasil menerusi teknik cyanotype menyimpan makna yang jauh lebih mendalam, mengajak penonton merenung nilai warisan, hubungan sesama manusia dan perjalanan kehidupan.
Dalam pameran Seutas Benang di KL City Art Gallery, kebanyakan artis menampilkan karya berasaskan sulaman benang.
Berbeza pula dengan Azmatul Hazrin Abd Kadir Pahirulzaman anak kelahiran Kampung Gajah, Perak yang memilih menghasilkan karya menerusi teknik analog sun print atau cyanotype photography sebagai medium untuk menyampaikan mesej yang bersifat simbolik dan puitis.
Bagi Azmatul Hazrin, warisan bukan hanya berkaitan harta yang ditinggalkan kepada generasi seterusnya, sebaliknya turut merangkumi nilai, kenangan dan hubungan yang membentuk kehidupan manusia.
Pada masa sama, dia melihat warisan juga mampu menjadi punca pertikaian sekiranya gagal diuruskan dengan baik.
“Warisan bukanlah apa yang kita tinggalkan, tetapi bagaimana cara kita meninggalkannya kepada generasi akan datang.
“Dalam isu warisan, kadang-kadang berlaku pertikaian yang membawa kepada tangisan dan perpecahan. Oleh itu, saya menggunakan imej seperti simbol mata dan air mata bagi menggambarkan emosi yang wujud dalam karya ini,” jelasnya.

Menurutnya, setiap elemen yang dipaparkan bukan sekadar imej, sebaliknya mempunyai simbol dan makna tersendiri yang memberi ruang kepada penonton untuk mentafsirkan karya berdasarkan pengalaman masing-masing.
“Kerja seni saya lebih kepada simbolisme. Ia bukan sekadar gambar, tetapi mempunyai lapisan-lapisan makna seperti puisi.
“Saya tidak mahu memaparkan secara terus. Sebaliknya saya cubs mendidik penonton melihat, berfikir dan mentafsir sendiri setiap simbol berdasarkan pengalaman mereka,” katanya.
Menurutnya, fotografi seni halus mempunyai pendekatan yang berbeza berbanding fotografi konvensional yang lebih menekankan keindahan visual.
Oleh itu, medium fotografi seni halusnya menjadi ruang untuk menerjemahkan mesej dan kritikan sosial secara halus mengenai isu yang dekat dengan masyarakat.
“Di mana ada komuniti, di situ ada isu warisan. Ia bukan hanya berkaitan harta pusaka, tetapi juga warisan nilai, alam sekitar dan hubungan sesama manusia,” katanya.
Selain idea yang diketengahkan, proses menghasilkan karya juga bukan sesuatu yang mudah.
Azmatul Hazrin memilih menggunakan teknik cyanotype yang memerlukan pendedahan kepada cahaya matahari bagi memindahkan imej ke atas permukaan kanvas.
Katanya, setiap karya memerlukan penelitian rapi kerana keseluruhan proses bergantung kepada keadaan cuaca, intensiti cahaya dan penggunaan bahan kimia.
“Selepas kanvas disapu dengan bahan kimia, saya perlu menunggu sehingga benar-benar kering sebelum boleh didedahkan kepada cahaya matahari.
“Saya juga perlu melihat keadaan langit dan awan terlebih dahulu. Jika cuaca tidak sesuai, saya terpaksa menangguhkan proses tersebut. Kanvas yang sudah disapu bahan kimia pula perlu disimpan di dalam bilik gelap supaya tidak terdedah kepada cahaya,” jelasnya.

Katanya, teknik cyanotype menuntut kesabaran yang tinggi kerana setiap proses perlu dilakukan mengikut turutan.
“Berbeza dengan lukisan yang boleh dipadam atau diubah, cyanotype memerlukan setiap langkah dilakukan dengan teliti kerana kesilapan kecil boleh menjejaskan keseluruhan hasil karya,” katanya.
Dia turut memilih menggunakan kanvas berbanding kertas kerana medium itu lebih tahan apabila direndam di dalam air dalam jangka masa yang lama dari kebiasaan.
“Selepas melalui proses pendedahan cahaya, tekstur pada kanvas memberikan karakter yang berbeza berbanding kertas dan lebih sesuai apabila saya membuat sulaman reben di atasnya,” jelasnya.
Karya seni menjurus kepada penyampaian mesej dan teguran. Teknik dan simbolisme hanya sebagai satu metafora dalam corak penyampaiannya kepada penonton
Berpengalaman selama 26 tahun dalam bidang seni, Azmatul Hazrin mengakui membina identiti sebagai seorang pengkarya bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam masa singkat.
Katanya, setiap karya perlu mempunyai bahasa visual yang tersendiri sehingga mampu dikenali tanpa perlu melihat nama artis yang menghasilkannya.
“Saya mengambil masa 26 tahun untuk membina identiti sendiri. Apabila orang melihat karya itu dan tahu siapa pengkaryanya tanpa perlu melihat nama, pada saya itulah identiti sebenar seorang artis,” katanya.
The post Azmatul pelihara warisan dengan visual cyanotype appeared first on Utusan Malaysia.
