
MASIH dalam mood beraya, pastinya kini ada yang membuat dan menerima jemputan rumah terbuka, kunjung-mengunjung mengeratkan silaturahim.
Namun bagi penyanyi Azza Elite, pengalaman itu tidak semestinya seindah yang dilihat di permukaan apabila beliau memilih untuk lebih berhati-hati dalam menerima undangan.
Pemilik nama sebenar, Nor Azzarima Zawari mendedahkan, dirinya mengambil keputusan untuk tidak menghadiri mana-mana rumah terbuka yang diadakan di dalam kediaman.
Langkah tersebut diambil demi keselesaan anaknya, Adam, yang didiagnosis dengan autisme ringan tahap dua.
Dedah Azza, sebagai seorang ibu, keutamaan utama adalah memastikan anaknya berada dalam situasi yang tidak memberi tekanan kepada dirinya mahupun orang sekeliling.
"Ada open House if buat dekat rumah saya minta maaf tak dapat hadir risau kehadiran saya dan Adam akan menimbulkan tak best sebab Adam kan autism
"Bimbang dia usik permainan lah apa lah, jadi saya memang ambil keputusan tidak akn menghadiri mana mana open House yang di buat di dalam rumah," ujarnya menerusi satu hantaran di Threads.
Menurut Azza, suasana di dalam rumah orang yang terlalu tertutup dan penuh barang mainan kadangkala boleh menjadi cabaran buat Adam.
Justeru, dia lebih selesa jika sebarang jemputan diadakan di ruang terbuka seperti khemah, yang dilihat lebih mesra dan terkawal untuk anaknya.
"Kalau ada khemah tak mengapa sebab saya tau Adam behave je. Tapi dia still budak-budak kan, autism pulak tu.
"Jadi, nampak mainan nanti dia ambil macam mana. Lebih baik tak payah hadiri.
Dalam perkongsian tersebut juga, Azza menjelaskan dirinya tidak mahu mengambil risiko berlaku situasi yang boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada tuan rumah atau tetamu lain. Lebih baik, katanya, untuk tidak hadir jika keadaan tidak sesuai untuk Adam.
'Saya pun tak boleh lah jika ada yang mengata. Nanti ada pula orang marah anak saya," ujarnya lagi.
Azza turut meluahkan dia bukan tidak mahu bersosial, namun pengalaman lalu membuatkannya lebih berhati-hati.
Ada situasi yang pernah berlaku apabila Adam berdepan reaksi kurang menyenangkan daripada kanak-kanak lain, termasuk momen mainannya diambil ketika dia sedang bermain.

Kesan emosi
Perkara itu memberi kesan emosi kepada Azza sebagai seorang ibu, apatah lagi apabila dia melihat sendiri anaknya berdepan situasi yang tidak difahami oleh orang sekeliling.
Walaupun begitu, Azza menegaskan bahawa Adam sebenarnya seorang kanak-kanak yang baik dan mampu berkelakuan baik, terutama dalam suasana yang lebih terkawal seperti di hotel atau ruang terbuka bersama keluarga.
Namun, berada di rumah orang yang asing dan penuh rangsangan kadangkala membuatkan dia lebih berhati-hati.
Atas sebab itu, Azza memilih untuk lebih selesa berada di rumah atau menikmati masa bersama keluarga dalam suasana yang tenang.
“Saya ibu yang akan sentiasa melindungi anak,” itu antara prinsip yang dipegang Azza dalam menjalani kehidupan seharian bersama anak lelaki kesayangannya itu.
Bagi Azza, keputusan untuk menolak undangan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi ia dibuat dengan pertimbangan emosi dan kesejahteraan anak yang menjadi keutamaan.
Dalam dunia yang semakin terbuka dan memahami kepelbagaian, perkongsian Azza ini secara tidak langsung membuka mata ramai tentang realiti yang dilalui ibu bapa kepada anak istimewa, yang mana setiap langkah perlu difikirkan demi keselesaan dan ketenangan si kecil.



