SHAH ALAM - Usaha memperluaskan penggunaan biodiesel B100 berasaskan 100 peratus minyak sawit mentah (MSM) dilihat mampu menjadi pemangkin baharu dalam memperkukuh ekonomi warga peneroka, khususnya dalam mendepani tekanan kos sara hidup.
Saranan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek itu dilihat sebagai langkah strategik yang bukan sahaja mengangkat nilai komoditi sawit, malah membuka ruang kepada kestabilan pendapatan jangka panjang dalam kalangan peneroka.
Inisiatif kerjasama antara FELDA dan FGV Holdings Berhad itu dilihat bukan sekadar dasar tenaga, sebaliknya usaha memastikan hasil titik peluh peneroka terus bernilai dan dihargai.
Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan, Datuk Sulong Jamil Mohamad Shariff berkata, pelaksanaan B100 membawa dimensi lebih luas daripada sekadar peralihan kepada tenaga alternatif, sebaliknya berpotensi membentuk ekosistem ekonomi yang lebih mampan.
Menurutnya, peningkatan penggunaan minyak sawit sebagai bahan api mampu mewujudkan permintaan yang lebih konsisten, sekali gus menyumbang kepada kestabilan harga dan pendapatan peneroka.
“Apabila permintaan terhadap minyak sawit meningkat secara berterusan, ia memberi kesan langsung kepada pendapatan peneroka serta menjamin kelangsungan ekonomi keluarga dalam jangka panjang,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau turut mencadangkan agar Koperasi Permodalan FELDA (KPF) diberi peranan sebagai pengedar utama B100 bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dikembalikan kepada warga peneroka sendiri.
**media[3485348]**
Dalam masa sama, cadangan mewujudkan kemudahan pengisian khas di kawasan FELDA dilihat mampu merancakkan penggunaan bahan api berkenaan, selain memperkukuh kitaran ekonomi dalaman komuniti.
Sulong Jamil menjelaskan, penggunaan B100 dalam operasi ladang dan kenderaan berkaitan juga berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada diesel komersial yang harganya tidak menentu.
Ujarnya, langkah itu secara tidak langsung membantu mengawal kos operasi di peringkat ladang, sekali gus meningkatkan kecekapan pengeluaran serta daya saing sektor perladangan.
“Apabila kos operasi dapat dikawal dan harga komoditi lebih stabil, kesejahteraan komuniti luar bandar, khususnya warga peneroka, akan turut meningkat,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, pelaksanaan B100 secara meluas bukan sahaja memberi manfaat kepada peneroka, malah berpotensi memperkukuh keseluruhan rantaian industri sawit negara.
Inisiatif itu dilihat selari dengan aspirasi pembangunan lestari negara, yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, sekali gus memastikan industri sawit kekal relevan dan berdaya saing di peringkat global.
