IPOH - Kerana gagal memastikan keselamatan di tempat kerja sehingga menyebabkan kemalangan maut dan cedera terhadap pekerja masing-masing, tiga syarikat hari ini didenda berjumlah keseluruhan RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Sedia Engineering Works Sdn Bhd, Wego Malaysia Construction Sdn Bhd dan Cew Sin Plastic Pipe Sdn Bhd selepas ketiga-tiga syarikat itu, melalui wakilnya, mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim.
Kesemua syarikat didakwa gagal untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebaikan semasa bekerja bagi semua pekerja di bawah kawalan syarikat masing-masing mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama.
Jika sabit kesalahan, kesemua syarikat boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi Sedia Engineering Works Sdn Bhd, sebuah syarikat kontraktor, yang diwakili pengarah urusannya, S.Subramaniam, 40, didakwa gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja-kerja terkurung di Kilometer (KM) 6, Lebuhraya Ipoh-Lumut pada 25 Mei 2019 pada pukul 7.20 malam.
Mengikut fakta kes, syarikat itu telah menyebabkan kemalangan maut terhadap warga Bangladesh Sumon (No pasport: BJ0527315) manakala dua lagi, iaitu Mohammad Imran (No pasport: P0300365) yang juga warga Bangladesh serta Abdul Rahman Mohamed Affandi, 27, pengsan akibat gas penyesak.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Ira Azreen Mohamad manakala syarikat terbabit tidak diwakili peguam.
Sementara itu, Wego Malaysia Construction Sdn Bhd, yang diwakili pengurus urusannya, Lim Kim Teong, 59, didakwa gagal untuk mengadakan sistem kerja selamat 'Lifting Plan' bagi kera-kera mengangkat menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan kemalangan maut terhadap Lai Kim Choy, 47.
Kejadian itu didakwa berlaku di proek membina dan menyiapkan 175 rumah di atas PT 28416, Mukim Setiawan, Bandar Seri Iskandar, Mukim Bota, Daerah Perak Tengah, Perak pada 24 April 2019 pada pukul 12.20 tengah hari.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Mohd Shazami Ishak manakala syarikat terbabit tidak diwakili peguam.
Hakim Norashima menetapkan hukuman denda terhadap kedua-dua syarikat tersebut masing-masing RM40,000 atau sembilan bulan penjara jika gagal membayar.
Bagi Cew Sin Plastic Pipe Sdn Bhd, yang diwakili pengurus pentadbirannya, Lee Ngean Hon, 40, syarikat terbabit didakwa gagal mengadakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti memotong paip 'upvc' di bahagian pengeluaran (PVC Section) sehingga menyebabkan Muhammad Zulhelmi Kamaruddin, 25, putus satu jari telunjuk kanan dan saraf putus di jari tengah kanan yang menyebabkan hilang deria rasa jari tersebut.
Kejadian didakwa berlaku di premis syarikat berkenaan di Lot 305010, Jalan Chepor 11/10, Pusat Industri Seramik Fasa 2, Chepor, Perak pada 15 April 2019 pada pukul 2.30 petang.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Mudzaffar Anwar Hussin manakala syarikat terbabit tidak diwakili peguam.
Hakim Norashima menetapkan hukuman denda RM20,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal membayar. - Bernama

