Miti perlu segera bertindak terhadap penyelewengan di Mimos

10 Jun 2019 • 1:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SHAH ALAM - Parti Negara menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) segera mengambil alih pengawasan pengurusan tertinggi Mimos Bhd (Mimos) kerana dipercayai terdapat komplot peringkat tertinggi agensi itu yang mahu menutup skandal penyelewengan.

Setiausaha Agungnya, Abdul Ghani Haroon berkata, jika Miti lambat bertindak dikhuatiri maklumat penyelewengan tersebut dihapuskan dan dimanipulasi untuk kepentingan mereka yang terlibat.

"Kami memandang serius pemecatan empat pegawai tertinggi Mimos termasuk presiden dan ketua pegawai eksekutif pada April lalu yang kononnya menyalahgunakan kuasa dengan memberi taklimat teknologi bagi pihak Mimos di dua persidangan antarabangsa di Malaysia.

"Daripada maklumat kami terima. kemelut ini bermula apabila adanya usaha bersungguh-sungguh dilakukan untuk menyiasat dan membongkar penyelewengan membabitkan dana perbelanjaan untuk Penyelidikan dan Pembangunan (Development Expenditure for R&D) berjumlah kira-kira RM400 juta sejak 2008," katanya menerusi satu kenyataan akhbar hari ini.

Katanya lagi, dana berkenaan disalahgunakan untuk membiayai aktiviti perniagaan termasuk membayar gaji mereka yang terlibat dalam aktiviti perniagaan tersebut di luar ruang lingkup pembiayaan yang sebenarnya di khususkan untuk Mimos.

"Walaupun dana penyelidikan digunakan untuk membiayai aktiviti perniagaan ini, kami difahamkan kebanyakan aktiviti perniagaan ini tidak memberikan pulangan setimpal malah mengalami kerugian termasuk kelewatan penyiapan projek dan kecacatan penghantaran.

"Kami juga menerima banyak maklumat mengenai pemberian tender hampir RM100 juta membabitkan syarikat tertentu sahaja dengan proses mencurigakan," katanya.

Tambahnya, amat malang jika pegawai yang jujur dan tiada berkepentingan mahu melakukan perubahan menjadi mangsa kepada kelompok perasuah dan penyeleweng yang telah menyalahgunakan harta negara (melalui peruntukan Rancangan Malaysia seperti RMK-10 dan 11).

Justeru, katanya, Miti haruslah memastikan setiap penyelewengan terhadap wang negara ini disiasat segera dengan teliti dan telus manakala setiap individu yang bertanggungjawab wajib dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sewajarnya.