MP Wangsa Maju jelir lidah pada peniaga undang kemarahan netizen

3 Jan 2020 • 9:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

DANAU KOTA - Video aksi Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew menjelir lidah ke arah peniaga pasar larut malam (uptown) Danau Kota mengundang kecaman netizen.

Video yang dimuat naik oleh @Sir_Azri melalui Twitter itu bermula dengan Yee Kew turun padang berjumpa peniaga yang mahu meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pemindahan tapak perniagaan berkenaan.

Bagaimanapun keadaan menjadi kecoh apabila pemimpin itu dikerumuni peniaga yang mahukan penjelasan mengenai ada peniaga yang tidak menerima tapak baharu.

Ahli Parlimen tersebut kemudiannya bertindak jalan ke kenderaannya dan cuba memberi penjelasan namun peniaga memarahinya malah ada yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada beliau.

Sebelum beredar, beliau telah membuka tingkap sambil menjelirkan lidah kepada peniaga yang berada di situ yang telah menimbulkan tidak puas hati dan kemarahan dalam kalangan mereka

Dalam pada itu, @Sir_Azri turut memuat naik ciapan yang memberitahu, "Ini perangai Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju, Tan Yee Kew. Perangai macam ni betul menunjukkan tahap IQ seorang Ahli Parlimen PKR.

"Rakyat perlu ajar Ahli Parlimen sebegini. Betul-betul badut sarkas," tulisnya.

Perkongsian video yang berdurasi 1 minit itu kini tular di media sosial yang meraih 4,400 tontonan dan rata-rata netizen menyifatkan tindakan pemimpin itu tidak matang.

"Kenapalah sebagai pemimpin bersikap kurang ajar begitu jelir lidah pada orang di kawasan yang telah menyokong kau Datin. Kena marah, maki itu lumrah sebagai seorang pemimpin mendengar luahan rakyat. Kau sememangnya bersikap tidak profesional," tulis @Imrandin.

@rahmanan pula memberitahu, "Ini cara kau menyelesaikan masalah dengan jelir lidah. Adakah itu satu sikap yang matang sebagai Ahli Parlimen. Kalau begini, memang satu penggal jerlah kau jadi Ahli Parlimen,".


View Original Article