
PASTI ramai yang masih mengingati akan kisah Farah Fakhira, pempengaruh dan usahawan terkenal, yang diuji dengan kehilangan suaminya, Zaidul Ariff, secara mengejut ketika bermain badminton pada Oktober tahun lalu.
Saat itu, Farah sedang mengandung anak pertama mereka, dan kehilangan itu jelas meninggalkan ruang kosong yang sukar digambarkan.
Namun, di sebalik kesedihan yang mendalam, datanglah satu sinar baharu.
Farah kini selamat melahirkan bayi sulung mereka pada 28 Ramadan, satu detik yang disambut dengan penuh syukur dan air mata bahagia.
Menerusi Instagram Storie, wanita tabah itu berkongsi gambar bayi mereka sambil menitipkan kata-kata untuk arwah suaminya.
“Abang, alhamdulillah sayang bersalin normal. Baby betul-betul baik, banyak mudahkan saya macam awak.
"Keluar-keluar pun senyum je dia,” tulisnya penuh haru.

Bukan itu sahaja, dia turut meluahkan perasaannya sebagai ibu baru dan rasa syukur atas doa serta sokongan orang ramai sepanjang kehamilannya.
Dengan nada yang tenang namun menyentuh hati, Farah menceritakan betapa bayi mereka seolah memahami setiap kesedihan yang dirasainya sejak kehilangan Zaidul.
“Baby, kita raya ni tak ada ayah tau. Temankan saya dalam perut baik-baik okay. Rasanya ungkapan tu baru sangat, tahu-tahu dah start ada pembukaan.
"Sepatutnya due akhir bulan/awal bulan depan, tapi baby ni masya-ALLAH, dari start Zaidul meninggal, tak ada satu ragam pun, selalu je faham.
"Berbulan nangis, even saya paksa makan, still alhamdulillah berat dia naik, sihat semua. Even dah penghujung pun still dia dengar seolah tak nak kita sedih sorang-sorang,” kongsinya.
ALLAH beri waktu tepat
Farah juga berkongsi satu pengajaran mendalam tentang makna kesakitan ketika melahirkan.
“ALLAH, baru aku faham, sakit melahirkan bukan sekadar luka, tapi bukti cinta yang tak terungkap," ujarnya.

Di hujung perkongsian, Farah menzahirkan rasa syukur atas doa dan sokongan orang ramai. Baginya, perjalanan ini bukan sekadar menjadi ibu tunggal, tetapi juga perjalanan baharu untuk terus berjuang dan memimpin hidup bersama anaknya.
“Terima kasih semua sebab tak henti doakan saya. Dari saya bujang sampai nak dekat 10 tahun kahwin, baru ALLAH izinkan ada anak tanpa merancang atau ambil ubat pun.
"Percayalah, ALLAH beri tepat pada waktunya dan DIA tahu mana yang terbaik untuk kehidupan kita. Doakan saya kuat jadi ibu tunggal macam orang lain ok," ungkapnya penuh tulus.
Dalam nada penuh bermakna, Farah turut memperkenalkan nama penuh anak perempuannya itu kepada dunia online.
“Dan hai auntie-auntie online, nama saya Farah Hana Khawla binti Zaidul Ariff”, yang membawa maksud kegembiraan yang membawa ketenangan, dengan kekuatan dan keberanian seorang wanita mulia,"kongsinya lagi.
