amree05/08/2026 - 16:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos – Syarikat rumusan penyejukan mampan global, BAC memulakan pembinaan fasiliti pembuatan berteknologi tinggi yang bernilai AS$150 juta (kira-kira RM700 juta) di Nilai, Negeri Sembilan.
Pelaburan jangka panjang hingga 2035 itu dilaksanakan dengan sokongan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan dijangka mewujudkan sejumlah 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Projek tersebut dibangunkan di atas kawasan berkeluasan 7.4 hektar menerusi dua fasa, dengan fasa pertama dijadual siap menjelang penghujung 2027 yang melibatkan pembinaan fasiliti pembuatan.
"Premis ini seluas 30,000 meter persegi serta merangkumi pejabat kejuruteraan dan pembuatan serantau, sebelum diikuti pembangunan fasa kedua," jelas BAC dalam kenyataan bersama dengan MIDA.
Langkah seterusnya itu akan memberi tumpuan kepada pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta peningkatan teknologi pembuatan, manakala keseluruhan fasiliti ini dijangka siap menjelang 2030.
Majlis pecah tanah projek pembangunan tersebut disempurnakan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) MIDA, Zuaida Abdullah, dan Presiden BAC, Don Fetzer.

Menurutnya, fasiliti baharu itu menghasilkan pelbagai produk penyejukan termasuk menara penyejukan litar tertutup, sistem penyejukan hibrid, penyejuk jenis adiabatik dan rumusan penyejukan cecair.
"Kesemua produk ini bagi memenuhi permintaan tinggi dalam sektor pusat data (DC), industri serta infrastruktur komersial di rantau Asia Pasifik sendiri yang pesat membangun pantas," katanya.
Selain itu, fasiliti tersebut dilengkapi makmal pembangunan dan pengujian produk beriklim terkawal yang akan membolehkan teknologi penyejukan direka serta diuji khusus untuk iklim jenis tropika.
Fasiliti yang menyasarkan pensijilan 'LEED Gold' dan piawaian 'FM Approved' itu turut direka ciri cekap tenaga mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, serta menyokong pembangunan bakat tempatan.
Usaha berkenaan dibuat melalui kerjasama dengan universiti, program latihan industri dan pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan dan inovasi berteknologi tinggi di rantau Asia Pasifik.
"Pelaburan BAC mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pembuatan bernilai tinggi, selain menyokong pembangunan sektor strategik seperti DC dan elektronik," katanya.
Ia membolehkan syarikat global itu meningkatkan keupayaan pembuatan, kejuruteraan dan sokongan teknikal bagi memenuhi keperluan pelanggan di seluruh Asia Pasifik dengan pantas. - DagangNews.com



