
“Para scammers moden yang giat beroperasi dalam talian di serata dunia menipu serta mencuri harta orang ialah ejen dajal yang wajib diperangi. Jika perlu, potong tangan mereka sebagaimana Allah arahkan dalam al-Quran”
Kita wajib mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia kerana berjaya menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian yang menjadikan Forest City di Iskandar Puteri, Johor sebagai markas operasi mereka.
Pada 15 Julai 2026, seramai 335 individu diberkas dalam serbuan besar-besaran membabitkan 27 unit apartmen dan lima banglo di lokasi tersebut.
Sebut sahaja kegiatan sindiket ini, mereka boleh disifatkan sebagai syaitan manusia yang bersekongkol dengan organisasi dajal. Mengapa syaitan manusia? Tidak lain kerana Allah sendiri menamakan mereka dengan gelaran tersebut. Tambahan pula modus operandi mereka yang licik memperdaya mangsa dengan kata-kata manis, sekali gus menepati sifat syaitan manusia dalam
Firman Allah ini:
“Dan demikianlah Kami jadikan bagi setiap Nabi itu musuh dari syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya (al-An’am 6:112).
Selain syaitan manusia, mereka juga layak digelar dajal akhir zaman. Umumnya dajal merujuk kepada satu watak perosak manusia yang bakal muncul di akhir zaman. Banyak hadis menyebut perihal si dajal ini.
Rencana ini akan memberi tumpuan kepada makna dajal menurut ulasan Bahasa Arab bagi menyesuaikannya dengan bencana terkini yang melanda manusia kesan daripada perkembangan teknologi moden.
Benar! Apa sahaja teknologi yang muncul akan membawa kesan buruk tersendiri. Jika dahulu, pencuri memerlukan pergerakan fizikal memecah masuk ke dalam rumah mangsa untuk mencuri.
Sekarang ini, berbagai peranti moden pula terdedah kepada ancaman curi dan samun di atas talian. Bencana penipuan melampau ini sudah lama disebut Rasulullah SAW:
“Kiamat tidak akan berlaku sehingga munculnya berbagai fitnah (bencana), banyaknya pendustaan, pasar menjadi semakin dekat, pendeknya masa dan banyaknya pembunuhan Musnad Ahmad, 10724 & Sahih Ibn Hibban, 6718).
Berbalik kepada isu dajal, dalam bahasa Arab ia bermaksud menutup atau menyalut sesuatu. Hal ini kerana dajal ialah pendusta yang pakar menyembunyikan kebenaran dan membuat tipu daya terhadap manusia. Dia mampu menampakkan kecantikan pada perkara yang batil. Rasulullah SAW menegaskan definisi ini dalam sabda Baginda:
“Dajal akan muncul dan padanya ada air dan api. Apa yang dilihat orang ramai sebagai air itu sebenarnya api, manakala apa yang dilihat orang sebagai api, itu sebenarnya air sejuk yang tawar.
Sesiapa dalam kalangan kamu yang menemuinya maka terjunlah ke dalam apa yang dilihat sebagai api kerana ia sebenarnya air tawar yang sedap (Sahih Muslim, 5225).
Jika diperhatikan, modus operandi para scammers atau sindiket penipuan atas talian ini sangat mirip dengan agenda besar dajal, iaitu menipu serta meranapkan hidup manusia secara fizikal dan emosi. Mangsa mereka akan hilang harta dan akan dirundung kesedihan melampau. Apa tidaknya, harta yang mereka simpan habis begitu sahaja.
Oleh itu, rencana ini memberikan memberi cadangan kepada semua pembaca yang berpotensi menjadi mangsa para dajal ini agar lebih waspada.
Sebagai pengguna tetap sebarang peranti moden seperti telefon pintar dan komputer, kita wajib lebih berhati-hati agar semua alat peranti tersebut tidak menjadi jendela yang memberi ruang kepada para dajal ini menyelinap masuk.
Dalami ilmu tentang cara menjaga keselamatan peranti anda. Ilmu tersebut sangat kritikal diketahui dan dimiliki. Ia “seumpama ilmu Fardu Ain” bagi semua pengguna peranti moden. Anggap peranti anda seperti pintu rumah sendiri yang perlu ditutup dan dikunci sewajarnya. Ini antara maksud tawakkal zaman moden yang pernah diajar Nabi SAW.
Seorang lelaki bertanya Nabi SAW tentang untanya, adakah ia perlu dibiarkan tanpa tambat atau bertambat? Nabi menjawab: “Tambat! Kemudian baru kamu berserah kepada Allah!” (Sunan al-Tirmidhi, 2517).
Selain itu, kita juga perlu bijak menilai sebarang tawaran atas talian yang muncul. Jika ia terlalu menguntungkan, terlalu murah atau terlalu ajaib untuk diterima oleh akal waras maka ia perlu diawasi. Penulis lantas teringat kisah Nabi Yusuf yang dijual murah-murah oleh pihak yang menemui Baginda dalam perigi. Mengapa agaknya? Firman Allah:
“Dan mereka (yang menemui Yusuf) menjualnya (sebagai hamba di Mesir) dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya; dan mereka adalah orang yang tidak menghargainya (nilai sebenar Yusuf) (Yusuf 12:20).
Yusuf AS dijual di bawah paras harga biasa seorang hamba kerana kafilah dagang yang menemui Baginda dalam perigi itu risau keluarga Baginda akan menyusul dan menuntut Baginda kembali.
Jika harga jualan Yusuf berada pada aras biasa, pastinya pihak yang sudah membeli Yusuf akan datang menuntut ganti rugi duit mereka.
Walaupun kita mungkin sudah berusaha sedaya mampu menjaga diri daripada jerangkap samar para dajal ini, ruang leka boleh masih terbuka.
Oleh itu, lengkapkan segala usaha di atas dengan senjata doa. Hal ini kerana doa yang dikawal selia sendiri oleh Allah mampu menutup bahaya yang akan datang daripada serbuan atau patukan para Dajjal ini.
Amalkan doa Nabi SAW berkaitan menghindari bahaya dajal yang berbunyi:
“Ya Allah! Aku mohon perlindunganMu daripada azab kubur, azab neraka, bencana dalam kehidupan dan kematian, serta bencana (tipu daya) dajal (Sahih al-Bukhari, 1377).
Mudah-mudahan doa ini membantu kita selamat daripada ditimpa bencana hidup ditipu oleh semua Dajjal ini, tanpa mengira mereka itu dajal scammers atau dajal sebenar di akhir zaman. Amin!
Penulis ialah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
The post Bagaimana cara melindungi diri daripada dajal atas talian? appeared first on Utusan Malaysia.
