Bagaimana Melindungi Perkahwinan Daripada Kecurangan? 

Family & Parenting
18 Sep 2022 • 8:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Terdapat banyak sebab mengapa pasangan memilih untuk menamatkan janji setia mereka. - Gambar hiasan Pexels

Curang dalam perkahwinan, menceraikan isteri dan berkahwin dengan wanita yang jauh lebih muda, atau kononnya lebih manja bagaikan sudah menjadi ‘norma’ dalam kehidupan generasi masa kini.

Berbanding dengan generasi dahulu, perceraian jarang terjadi kerana seboleh-bolehnya mereka mencari jalan untuk menyelesaikan konflik perkahwinan. 

Cuba lihat datuk dan nenek kita dahulu. Mereka berjaya mempertahankan perkahwinan kerana mereka sering mengambil masa dan memberi peluang kepada pasangan untuk saling berusaha dan memahami agar perkahwinan yang dibina berumur panjang. 

Kebijaksanaan ini tidak diwarisi sebaliknya ia adalah hasil daripada kerjasama bertahun-tahun untuk mencapai matlamat bersama, iaitu untuk kekal berkahwin seumur hidup.

Terdapat banyak sebab pasangan memilih untuk menamatkan janji mereka untuk menjalani kehidupan dengan satu sama lain iaitu isu kewangan, keganasan, perbezaan pemikiran dan karakter yang terlalu besar, kebencian, kemarahan. Ketidaksetiaan, walaupun bukan faktor utama dalam semua perceraian, ia boleh menjadi punca yang sangat besar sehingga perceraian tidak dapat diatasi.

Persoalannya, bagaimana anda mengenal pasti dan melindungi perkahwinan anda daripada kemungkinan perceraian? Apakah yang boleh anda lakukan?

image is not available
Pasangan perlu bijak mencari masa untuk menghabiskan masa berdua-duaan. - Gambar hiasan Pexels

1. Jangan abaikan hubungan intim

Adalah tidak normal bagi pasangan ‘tidak berselera’ dengan hubungan intim. Kesibukan rutin harian boleh menjadi punca kepada permasalahan ini, tetapi perlu mencari masa untuk menghabiskan masa berdua-duaan. 

Kekurangan keintiman ini sering menimbulkan kekosongan dalam perkahwinan, dan kerana itulah ada pasangan yang mencari orang lain untuk mengisi kekosongan itu. Jika perkara ini terjadi dan ia diabaikan terlalu lama, ia boleh melebarkan jurang antara pasangan dan mewujudkan ‘tempat pembiakan’ kebencian dan ketidaksetiaan.

image is not available
Penting bagi setiap pasangan untuk bertanggungjawab terhadap pemikiran dan tindakan mereka. - Gambar hiasan Pexels

2. Jangan pendam emosi

Penting bagi setiap pasangan untuk bertanggungjawab terhadap pemikiran dan tindakan mereka. Salah satu cara terbaik untuk mencapai persefahaman adalah mengakui kelemahan dan kesilapan serta bersikap terbuka untuk berubah apabila pasangan anda mengenal pasti masalah. 

Tanpa kesanggupan ini anda atau pasangan dalam perkahwinan mungkin menghadapi emosi yang tidak keruan. Seorang suami atau isteri mungkin berasa seolah-olah dia tidak cukup baik atau mungkin berasa seolah-olah pasangan tidak begitu mengambil berat tentang sesuatu isu. 

Ketidakseimbangan hubungan emosi ini boleh mengubah cara setiap pasangan melihat yang lain dan boleh menimbulkan rasa tidak selamat dalam hubungan. Akibatnya, tahap kepercayaan antara satu sama lain akan berkurangan dan akhirnya pasangan gagal mewujudkan hubungan kasih sayang yang berkekalan.

image is not available
Sebelum anda ingin berlaku curang, ingati semula ikrar dan janji kepada pasangan. - Gambar hiasan Pexels

3. Jangan mulakan hubungan ‘terlarang’

Jika sudah tidak gembira, tidak rasa kasih kepada pasangan, peluang untuk tidak setia mungkin berlaku. Perlu diingatkan, kecurangan bukan sahaja datang dalam bentuk hubungan intim atau hubungan seks dengan orang lain, tetapi ia juga boleh melibatkan hubungan emosi atau fizikal yang lain. Jadi sebelum anda memulakan langkah curang, ingati semula ikrar janji anda kepada pasangan ketika melamar dan sama-samalah mencari jalan penyelesaian konflik. 

image is not available
Beri tempoh percubaan kepada pasangan yang curang untuk membuktikan dia benar-benar insaf. - Gambar hiasan Pexels

4. Jangan tutup pintu hati

Memperbaiki perkahwinan selepas hubungan sulit diketahui  atau diakui pasangan memang bukan mudah. Ramai pasangan tidak mampu bertahan ketika melalui proses itu. Ini kerana tiada lagi kepercayaan terhadap pasangan dan akhirnya memilih untuk tidak meneruskan perkahwinan. 

Kecurangan yang melibatkan keintiman fizikal atau seks di luar perkahwinan selalunya lebih sukar untuk diatasi daripada yang melibatkan keintiman emosi dengan orang lain. Bagaimanapun, setiap pasangan perlu belajar untuk memaafkan jika jauh di sudut hati saling menyayangi. Lakukan perbincangan dan capai kata sepakat. Beri tempoh percubaan kepada pasangan yang curang untuk membuktikan dia benar-benar insaf dan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. 

Benar, memaafkan bukanlah sesuatu yang mudah. Malah, ada pasangan tidak akan pulih daripada trauma kecurangan. Jangan biarkan perkahwinan anda menjadi mangsa kecurangan. Pupuk kasih-sayang dan persefahaman dalam perkahwinan anda dengan bersungguh-sungguh. Luangkan masa  bersama dan sayang- menyayangi antara satu sama lain dengan sepenuh hati tanpa syarat. - Getaran, 18 September 2022

Diolah daripada artikel yang ditulis oleh Elizabeth McCormick, kaunselor kesihatan mental di University of Evansville, Indiana, Amerika Syarikat.

View Original Article