Saya pasti apabila tiba cuti umum di Malaysia, bagi sesetengah orang mereka akan ke pusat membeli belah, makan di luar atau sekadar menonton televisyen. Tapi tidak bagi saya, hari cuti saya memilih untuk berada lebih jauh dari orang ramai. Sebagai seorang yang introvert, saya ingin recharge diri saya. Jadi saya memilih untuk hiking yang jauh dari bunyi, orang ramai dan dan perbualan. Saya tidak gemar berbual kosong. Mendaki di hutan jauh dari orang ramai dan sunyi yang memberi ketenangan. Hubungan dengan alam harus dieratkan setelah bekerja sepanjang minggu. Saya sering mendengar orang berkata ‘’ Mendaki itu meletihkan'' dan sering sekali saya menerima komen seperti ‘’Apa fungsi mendaki sebenarnya?''. Saya hanya tersenyum dan mengatakan bahawa hanya orang yang gemar aktiviti ini akan faham tentang ketenangan yang diperolehi.
Saya akui memang penat naik turun bukit. Namun begitu, peluh saya tidak sia-sia. Setiap pendakian menolak beban saya dalam diam. Dalam lelah itu saya jumpa ketenangan yang sukar dijelaskan. Tambahan lagi, apabila kita sudah berjaya menawan puncak gunung atau menjumpai sebuah air terjun, kita akan berasa puas. Saya melalui tempat berlumut, tanah lembap dan daun-daun tua berguguran. Disitulah kesedaran mula timbul untuk kita sentiasa menjaga alam sekitar dan hutan kerana tidak galang gantinya. Tambahan pula, hutan di Borneo bukan sekadar cantik tapi merawat jiwa saya perlahan-perlahan.
Saya memang gemar mengambil gambar, gambar diri mahupun gambar sekeliling. Tapi itu bukan untuk menunjuk-nunjuk di media sosial, hanya sekadar menjadi kenang-kenangan. Gambar tersebut menjadi penguat diri saya dikala saya bosan dengan rutin harian bekerja di bidang korporat. Alam, pohon dan aliran sungai tidak pandai menghakimi kita seperti lidah tajam manusia. Itu antara sebab saya gemar ke hutan. Sebagai introvert, kami sukar meluahkan apa yang dirasai sebab itu kami gemar ke hutan untuk merasai kesenyapan hutan.
Apabila saya pulang, saya pulang dengan diri yang baru. Tanpa trofi atau pengiktirafan. Saya tidak memerlukan semua itu. Cukup sekadar saya berasa puas. Saya pulang dengan jiwa yang lapang dan kental. Dalam perjalanan pulang mulalah saya tercari-cari tempat untuk mendaki seterusnya. Begitulah ketagihan yang dialami oleh seorang pendaki. Namun harus diingatkan, sebelum mendaki kita perlu melakukan beberapa latihan fizikal seperti briskwalk atau jogging untuk stamina yang lebih kuat. Hiking itu mungkin bukan jawapan untuk semua orang tapi cukup untuk saya. Saya bercadang mahu meneroka lebih banyak hutan Borneo lagi selepas ini.
Zevi Sia (yyuzevia@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.png)
