
PETALING JAYA – Pelakon Rita Rudaini meluahkan rasa kagum terhadap keperibadian anak kepada usahawan sensasi, Datuk Seri Vida iaitu Cik B kerana menunjukkan adab yang tinggi dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Menurut Rita, 50, perbualan bersama Cik B atau nama penuhnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 21, meninggalkan kesan mendalam kepadanya sehingga terbawa-bawa hingga ke rumah.
“Semalam saya jumpa Cik B. Berborak macam-macam dengan Gen Z ini tetapi entah kenapa, borak itu terbawa-bawa sampai saya pulang ke rumah.
“Sampai di rumah saya cerita pada anak-anak tentang Cik B. Tak habis lagi, anak sulung telefon pada pukul 12.30 malam, saya sambung lagi cerita pasal Cik B.
“Kenapa sampai macam itu sekali? Sebab adab dia. Cik B mungkin ada segala-galanya tapi paling menyerlah pada saya bukan apa yang dia miliki sebaliknya cara dia membawa diri,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Tambah Rita, Cik B mempunyai sangat matang dalam menangani pelbagai situasi dan menjawab setiap pertanyaan yang diajukan.
“Apa saja kami borak dan tanya, dia jawab dengan sangat matang, tenang serta cool. Kadang-kadang saya sampai terfikir, ‘siapa sebenarnya Gen Z ini? Saya ke Cik B?’
“Bila cerita bagaimana dia kendali keadaan bila mama iaitu Datuk Vida marah, cara dia berfikir dan melihat sesuatu yang buat saya kagum.
“Saya dah jumpa ramai orang dalam hidup, tapi jarang bertemu anak muda seusia dia yang begitu matang, tenang dan tahu membawa diri,” katanya lagi.
Dia bahkan turut bersetuju dengan gelaran diberikan Vida kepada anaknya iaitu ‘anak mama yang hebat’.
“Patutlah Vida selalu panggil dia, ‘Cik B, anak mama yang hebat.’
“Ya, saya akui. Cik B memang anak yang hebat dan paling mahal pada dirinya adalah adab,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia juga menyamakan Cik B seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) kerana kebijaksanaannya memberi respons terhadap pelbagai soalan.
“Bagi saya Cik B ini macam ChatGPT versi manusia. Borak apa pun, semua ada jawapan.
“Bezanya jawapan dia datang dengan ketenangan, positif dan kadang-kadang buat kita yang lebih berusia pula terfikir.
“Cik B bukan sekadar anak muda yang berjaya. Pada saya, dia antara ikon Gen Z yang baik untuk anak-anak muda jadikan contoh seperti beradab, cool, positif, matang dan tahu siapa dirinya,” jelasnya.
Rita juga turut memuji Vida terhadap didikan yang diberikan kepada anak-anaknya.
“Di sebalik seorang anak seperti Cik B, tentunya ada seorang ibu yang membesarkannya melalui begitu banyak perjalanan hidup.
“Tahniah mama (Vida), kerana membesarkan seorang Cik B. Banyak benda boleh dibeli dengan duit tetapi adab, kematangan dan cara membawa dir, itu kekayaan yang sebenar,” jelasnya lagi.
Dalam hantaran sama, dia juga turut berkongsi foto bersama Cik B namun tidak menyatakan tujuan pertemuan mereka. – KOSMO! ONLINE
The post Bagi saya Cik B macam ChatGPT versi manusia – Rita Rudaini appeared first on Kosmo Online.



