Bahagian pasaran automotif, pendapatan Sime Darby meningkat selepas pengambilalihan UMW – penganalisis
diyana
09/02/2024 - 11:02
KUALA LUMPUR 9 Feb - Penganalisis menyemak semula unjuran mereka untuk Sime Darby Bhd berikutan pengambilalihan UMW Holdings Bhd, yang telah digantung daripada dagangan di Bursa Malaysia berkuat kuasa hari ini.
Kenanga Research, yang mengekalkan saranan ‘outperform’ terhadap saham itu, menaikkan unjuran keuntungan bersih Sime Darby bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing sebanyak 2% dan 14%, didorong peningkatan pendapatan selepas pengambilalihan UMW.
Ia juga menaikkan harga sasaran jumlah bahagiannya sebanyak 14% kepada RM2.80 daripada RM2.45 sebelumnya.
Firma penyelidikan itu menyatakan bahawa selepas selesai pengambilalihan, kehadiran Sime Darby dalam pasaran automotif tempatan akan diperluas ke pasaran pertengahan menerusi Toyota dan segmen mampu milik melalui Perodua.
Katanya, ini meletakkan kumpulan itu di kedudukan lebih baik untuk menghadapi rasionalisasi subsidi bahan api yang akan berlaku, serta mendapat manfaat daripada pelancaran baharu Perodua D66B dan Toyota Yaris Cross menjelang April 2024.
Selepas pengambilalihan, firma itu berkata bahagian pasaran Sime Darby dalam industri automotif tempatan akan melonjak daripada 3% kepada lebih 50%.
"UMW menyediakan akses kepada ekosistem besar Toyota, rantaian bekalan bernilai tinggi yang kukuh dan akan meningkatkan pendedahan pasaran tempatan Sime Darby.
"Secara geografi, Sime Darby akan mempunyai pendedahan yang sama di Malaysia, China dan Australia dengan baki 10% di pasaran lain, berbanding kebanyakannya di China sebelum ini," ulasnya dalam nota penyelidikan.
Berdasarkan kunci kira-kira, hutang bersih dan penggearan bersih Sime Darby masing-masing akan meningkat daripada RM4 bilion kepada RM5.88 bilion dan 0.2 kali kepada 0.4 kali (termasuk kedudukan tunai bersih UMW sebanyak RM1.12 bilion).
Menurut Kenanga Research, Sime Darby merancang untuk mengurangkan hutangnya melalui pelupusan tanah Malaysia Vision Valley di Labu, Negeri Sembilan, serta pelupusan tanah Komatsu dan UMW di Serendah.
Sementara itu, TA Securities Research dalam nota berasingan berkata urus niaga Sime Darby-UMW boleh menjadi penanda aras penilaian baharu untuk penggabungan dan pemerolehan masa depan dalam sektor automotif.
"Berdasarkan harga tawaran RM5 sesaham, nisbah PER hadapan tersirat dan harga kepada buku (P/B) masing-masing mencapai 14.6 kali dan 1.1 kali pada pendapatan dan nilai buku tahun kalendar 2024," katanya.
Firma penyelidikan itu menghentikan liputan ke atas UMW dengan harga sasaran terakhirnya bersamaan harga ditawarkan Sime Darby pada RM5 sesaham. - DagangNews.com


