Bahan Rampasan Op Global Fasa 4 Jadi Bukti Sokongan Pegangan Akidah GISBH - JAKIM

LocalPolitics
22 Sep 2024 • 7:40 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Seramai 155 pengikut GISB Holdings (GISBH), terdiri daripada  78 lelaki dan 77 wanita ditahan semalam dalam Op Global Fasa 4

KUALA LUMPUR - Beberapa bahan yang dirampas menerusi Op Global Fasa 4 boleh dijadikan bukti sokongan terhadap pegangan akidah pengikut kumpulan GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH).

Mengesahkan perkara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datin Hakimah Mohd Yusoff berkata, kesemua bahan bukti tersebut akan dijadikan asas dalam Kertas Laporan.

Menurut beliau, ia bakal dibincang dan diputuskan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI) yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 September 2024. 

“Keputusan Muzakarah MKI mengenai status doktrin Kumpulan GISBH ini akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam mengeluarkan fatwa.

“Ia bagi membolehkan proses pendakwaan terhadap ajaran kumpulan ini dibawa ke Mahkamah Syariah,” katanya.

image is not available
Hakimah Mohd Yusoff - Gambar fail

Hakimah berkata, JAKIM amat menghargai kerjasama semua agensi yang terlibat khususnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu jabatan berkenaan melengkapkan bahan bukti untuk tujuan tersebut. 

“Penghargaan juga kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang memberi kerjasama erat kepada JAKIM selama ini bagi memastikan proses penentuan status pegangan akidah dan syariah pengikut GISBH dapat diputuskan secara tuntas,” katanya.

Beliau memberi jaminan, JAKIM di bawah arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sentiasa berusaha bagi memastikan pegangan akidah dan syariah umat Islam di negara ini selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

“Sebarang usaha yang boleh mencemarkan kesucian ajaran Islam akan dibendung dengan kerjasama semua pihak,” katanya.

Awal pagi semalam, Op Global Fasa 4 yang dilaksanakan PDRM di seluruh Semenanjung berjaya menahan 155 pengikut GISB Holdings (GISBH), terdiri daripada  78 lelaki dan 77 wanita.

Operasi sama juga berjaya menyelamatkan 186 mangsa termasuk kanak-kanak yang tular di media sosial akibat dirotan lelaki pengikut GISBH. 

Daripada 186 mangsa itu, 102 terdiri daripada lelaki manakala selebihnya ialah wanita.

Selain PDRM, Op Global Fasa 4 turut disertai 1,273 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JAKIM), Jabatan Kimia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Semua yang ditahan berdepan siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007. - Getaran, 22 September 2024