Bahan Terbuang Jana Pendapatan Sampingan Penduduk Felda Bukit Aping Timur

5 Aug 2023 • 10:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Saharuddin memberi taklimat ringkas kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Jelajah Kembara Mahkota Johor. - gambar Facebook The Royal Johor

KOTA TINGGI -- Penduduk Felda Bukit Aping Timur di sini mengambil inisiatif menghasilkan produk bermanfaat menggunakan bahan terbuang antaranya serkam padi dan sisa organik dapur, bagi menjana pendapatan sampingan.

Ahli Jawatankuasa Biro Ekonomi dan Keusahawanan Felda berkenaan Saharuddin Azad Din berkata antara yang diusahakan pihaknya adalah bebola lumpur mikroorganisma efektif (EM) yang terhasil daripada gabungan tanah liat, arang dan serkam padi.

Katanya selain itu pihaknya turut menghasilkan baja kompos daripada sisa organik dapur yang dikumpulkan dengan kerjasama penduduk di sekitar kawasan Felda tersebut.

"Bebola lumpur EM dan baja kompos ini dihasilkan secara bergotong-royong pada hujung minggu atau waktu lapang. Selain menjana pendapatan sampingan, hasil jualannya juga akan digunakan dalam komuniti untuk melaksanakan pelbagai aktiviti penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi taklimat dan penerangan ringkas kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkenan memimpin jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 edisi ke-23 hari ini.

Saharuddin berkata kedua-dua produk tersebut kini mempunyai pelanggan tetap dengan setiap hari pihaknya akan menyiapkan tempahan antara 60 hingga 100 biji bebola lumpur EM dan kira-kira 20 bungkus baja kompos.

"Felda ini turut menerima Anugerah Khas dalam Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera Kebangsaan 2022 kerana aktif menjana pendapatan melalui penghasilan kedua-dua produk berkenaan," katanya.

Felda Bukit Aping Timur merupakan lokasi kedua pada hari pertama Tunku Ismail bersama konvoi Diraja itu selepas Kulim Eco-Trail Retreat di sini, sempena jelajah KMJ yang akan merentasi 10 daerah meliputi perjalanan sejauh 879 kilometer mulai hari ini hingga Selasa. - BERNAMA